Wednesday, 30 March 2022

PERANCANGAN STRATEGIK ATASI KEMISKINAN

 
Hanya orang yang pernah miskin akan faham erti dan makna kemiskinan. Orang yang tidak pernah merasa terik mentari tidak akan faham nikmatnya berlindung bawa naungan teduh.

Kemiskinan dalam masyarakat itu kenyatan. Masyarakat B40 banyak cabaran. Setiap hari pelbagai masalah datang dan mereka terkepung dalam arus perubahan yang cepat sedangkan mereka masih jauh ketinggalan.

Padang permainan tidak sama rata. Mereka perlu memanjat dan mendaki untuk melihat cahaya matahari perubahan deras dalam kehidupan.

Terbang tinggi bersayap lebar dengan ilmu. Satu masa pulang berakar umbi kembali membela pertiwi di kampun sendiri.

Kemiskinan ini mengundang banyak kesulitan. Itu tentang pelajaran.

Cuba setiap pegawai kanan kerajaan, profesional dan tokoh korporat terkemuka hari ini mengenang kembali kira-kira 30 atau 40 tahun tahun lalu. Majoriti mereka yang berjaya sekarang bukan berasal daripada latar belakang keluarga kaya atau sekurang-kurangnya dalam kategori kelas menengah.

Mereka juga bukan berasal dari kawasan bandar, tetapi anak kampung yang berkaki ayam ketika kecil dan biasa bergelumang lumpur. Petani, nelayan dan penoreh getah adalah jawapan yang biasa diberikan apabila ditanya pekerjaan bapa masing-masing.

Dalam satu generasi, perubahan drastik berlaku dalam landskap sosial masyarakat luar bandar apabila tidak seperti zaman penjajah, anak orang kampung tidak lagi mewarisi pekerjaan bapa mereka yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Anak kampung kini menjadi pakar bedah, arkitek, jurutera, pegawai kanan kerajaan dan menerajui syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia. Kisah kejayaan individu berkenaan sebenarnya bukan milik peribadi, tetapi sebahagian kisah kejayaan Malaysia dalam program membasmi kemiskinan di luar bandar.

Ketika di bawah kibaran Union Jack, tiga daripada empat orang Melayu yang sebahagian besar di luar bandar adalah orang miskin. Selepas merdeka hingga awal 1970an, kira-kira 50 peratus penduduk luar bandar dibelenggu kemiskinan.

Mungkin bagi sesetengah negara lain, pemimpin boleh menarik nafas lega dengan kejayaan begini, tetapi ini tidak berlaku di Malaysia. Kemiskinan luar bandar terus menjadi isu besar yang diberi perhatian serius. Penurunan kadar kemiskinan luar bandar adalah kejayaan Malaysia yang amat hebat.

Bagaimanapun, Malaysia adalah antara negara yang kehidupan keluarga miskin berubah hanya dalam satu generasi.

Hasil sistem pendidikan, anak yang berjaya dalam pelajaran mengubah nasib keluarga di kampung. Ini berbeza dengan keadaan sesetengah negara yang anak kelas bawahan akan terus berada dalam kelompok itu.

No comments:

Post a Comment