Thursday, 11 August 2022

KULAT SISIR DAPAT PERMINTAAN TINGGI

 
Cendawan atau dalam dialek Kelantan dipanggil kulat terdapat banyak jenis. Salah satu kulat yang terkenal ialah kulat sisir atau juga dikenali kulat kukur. 

Kulat sisir atau orang Kedah panggil kulat sisiaq lazimnya ditemui pada batang pokok kayu mati. Paling banyak di batang kayu pokok getah. Ia tubuh di bahagian kulit pokok kayu mati kerana mudah menyerap pemakanan. Kulat sisir banyak tumbuh selepas hujan. 

Kulat sisir dalam dialek Perak dipanggil cendawan sisiaw tidak tahan lama jika dibiarkan di tempat ia tumbuh. Ia akan rosak selepas beberapa hari ‘mekar penuh’. Keadaan itu dalam dialek Kelantan dipanggil malo iaitu keadaan rosak atau layu selepas matang. 

Jadi, kulit sisir perlu terus dipungut atau dicabut dari tempat asalnya. Untuk dapat disimpan lebih lama, ia perlu dijemur atau dikeringkan. Kalau sudah betul-betul kering ia boleh disimpan sehingga 6 bulan dan lebih mengikut cara penyimpanan. 

Nama lain cendawan sisir atau cendawan kukur ialah kulat karikit, cendawan gerigit atau cendawan kujur mengikut dialek tempat berbeza.

Kulat sisir sedap dimakan sama ada digoreng atau digulai. Amat sedap dibuat sambal tumis ikan bilis. Ada juga suka goreng garam kunyit dengan udang segar dan sedikit santan, bawang besar dan cili hiris. Menu lain ialah masak lemak cili api.

Sebenar kulat sisir bukan sahaja sedap, tetapi juga mempunyai khasiat nutrisi dan perubatan yang tinggi berbanding cendawan lain antaranya kulat butang, enoki dan tiram. 

Kulat sisir mengandungi schizophyllan iaitu sejenis ramuan di dalam ubat antibarah khususnya barah serviks. Ia bertindak meningkatkan sel imun bagi membunuh sel barah, virus atau kuman yang menyerang badan. 

Ia juga mengandungi sebatian antioksidan yang kuat seperti selenium, asid protocatechuic, ergotheionene dan sebatian fenolik yang diperlukan bagi menyingkir toksik dalam badan selain kaya dengan protein, karbohidrat, magnesium dan vitamin D.

Memandangkan permintaan yang tinggi terhadap kulat sisir, terdapat pengusaha atau penanam dengan cara menggunakan bongkah yang membolehkan ia mengeluarkan hasil sepanjang tahun. Jadi, tidak perlulah tunggu musim hujan dan mencarinya di dalam semak atau tempat yang ada batang kayu mati.

No comments:

Post a Comment