Friday, 21 November 2025

BELUM BOLEH MENDULANG EMAS DI KELANTAN

 
KOTA BHARU (21 Nov 2025) - Rakyat Kelantan diminta tidak terburu-buru menjalankan aktiviti mendulang emas kerana proses kelulusan lesen serta garis panduan masih di peringkat penilaian.
 
Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, berkata meskipun cadangan kebenaran kepada rakyat untuk mengusahakan perlombongan emas dengan kaedah mendulang diumumkan minggu lalu, permohonan lesen perlu dibuat terlebih dahulu.
 
"Sekarang ini, lesen (mendulang emas) pun belum dikeluarkan lagi, kita baru di peringkat penilaian dan kajian.
 
"Kerajaan (negeri) cuma bersetuju supaya aktiviti itu dijalankan dan kita akan beri lesen tapi sekarang ini, ia dalam proses. Selagi lesen tak dikeluarkan, tak boleh mendulang, bersabar dulu," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
 
Media sebelum ini melaporkan kerajaan negeri membenarkan rakyat Kelantan menjalankan aktiviti perlombongan emas secara mendulang dengan lesen bersyarat yang akan dikeluarkan.
 
Kebenaran itu bagi memberi ruang kepada rakyat mencari rezeki tambahan dan urusan berkaitan perkara itu akan dipermudahkan.

No comments:

Post a Comment