Sejarah petempatan di Pulau Layang-Layang. Bermula 21 Jun
1980, satu tugu pertama dibina. Ia menjadi sejarah bermulanya pembinaan Stesen
Lima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Terumbu Layang-Layang, yang
kemudian dikenali Pulau Layang-layang.
Terumbu Layang-Layang terletak kira-kira 162 batu nautika
dari Kota Kinabalu merupakan sebahagian daripada gugusan Kepulauan Spratly di
Laut China Selatan. Empat lagi terumbu dikawal oleh TLDM iaitu Terumbu Ubi,
Terumbu Mantanani, Terumbu Siput dan Terumbu Peninjau.
Angkatan Tentera Malaysia
(ATM) menghantar anggota daripada Rejimen Gerak Khas (RGK)
untuk menduduki Terumbu Layang-Layang sebagai tanda penguasaan secara
mutlak.
Kumpulan pertama seramai 11 anggota mendarat dan
menduduki Terumbu Layang-Layang secara tetap pada awal Mei 1983,
tanpa sebarang kemudahan infrastruktur.
Poncho digunakan sebagai khemah untuk tempat tinggal. Semasa air pasang, kawasan kering hanya berukuran lebih kurang 12 meter panjang kali 2 meter lebar,
Pada penghujung tahun 1989 dan memasuki tahun 1990-an
keluasan Stesen Lima TLDM bertambah setelah ditambak sepenuhnya secara
berperingkat menggunakan tanah, pasir, konkrit dan lain-lain yang diangkut dari
Sabah, manakala modul Stesen Lima TLDM ditunda dari Semenanjung.
Pada tahun 1990-an juga kerja-kerja pembinaan infrastruktur
penting seperti pembangunan penempatan anggota, bilik jana kuasa, dua lot
hangar, stesen radar, menara peninjau dan persenjataan Bofor 40 mm.
Turut dibina ialah landasan terbang konkrit Stesen Lima
sepanjang 1,067 meter antara tahun 1991 hingga 1995. Kesemua projek dibiayai
Kerajaan Malaysia pada waktu itu sebagai suatu rangka pelan pertahanan dan
industri pelancongan Malaysia.
Kemudian pada tahun 2001 landasan terbang Stesen Lima dinaik
taraf dan dipanjangkan kepada 1,367 meter panjang dan 28 meter lebar.
Kerja-kerja pembesaran landasan terbang dijalankan Syarikat tempatan Sin Matu
Sdn. Bhd. dan siap sepenuhnya pada tahun 2003.
Nombor pengklasifasian landasan terbang adalah 032RBXU,
menunjukkan landasan terbang adalah sederhana kukuh pembuatannya terhadap
pengolahan maksimum tekanan tayar pesawat.
Selain untuk tujuan pertahanan, Stesen Lima kini menjadi
lokasi tumpuan pelancong atau kawasan ekopelancongan yang semakin mendapat
sambutan pelancong dari dalam negara mahupun luar negara.

