Keledek (Ipomoea
batatas L) dari keluarga Convolvulaceae adalah tanaman saka yang hidup menjalar
dan merupakan sejenis sayuran berubi yang kaya dengan karbohidrat dan karotena.
Tanaman ini dipercayai berasal dari Amerika Tengah dan Barat Laut Amerika Latin. Penyebaran tanaman keledek ke Eropah dipercayai dilakukan oleh Christopher Columbus melaluai pelayaran-pelayaran penemuannya yang masyhur manakala pelayar-pelayar dan pedagang-pedagang Sepanyor serta Portugis memperkenalkannya ke Afrika dan Asia.
Kini tanaman keledek terdapat di hampir keseluruhan kawasan tropika, subtropikal dan kawasan-kawasan hawa sederhana ketika musim panas.
Keledek atau dalam dialek Kelantan dipanggil ubi setelo dan di Kedah dipanggil ubi ketela merupakan sejenis tanaman umbisi yang menjalar di atas tanah dan mempunyai batang yang lembut. Daunnya berwarna hijau gelap dan bentuk tiga segi. Bunganya berwarna putih kemerahan daan mempunyai akar serabut yang membentuk umbisi keledek.
Tanaman Keledek perlukan kawasan yang panas dan cahaya matahari berterusan 3 bulan yang mencukupi. Tanah perlu lembab dan sesuai di kawasan tanah loam berpasir yang mengandungi bahan organik yang tinggi.
Tanah gambut dan tanah bekas lombong juga sesuai untuk penanaman keledek dengan pengkayaan tanah tersebut. Pastikan kawasan mempunyai sistem saliran yang baik. Keledek sesuai ditanam di atas batas untuk tujuan pengurusan tanaman dan pungutan hasil.
Tempoh menuai ubi setelo ialah antara tiga hingga lima bulan bergantung kepada keadaan tanah dan kadar tumbesarnnya. Gambar ini adalah hasil keledek selepas tiga bulan ditanam di atas tanah gambut yang kaya dengan bahan organik.
Selain ditanam di atas tanah, ubi setelo juga boleh ditanam di dalam pasu, bekas plastik dan sebagainya. Daun dan batangnya dibiarkan menjalar di kawasan sekitar.
No comments:
Post a Comment