Manusia
bukan robat atau mesin yang boleh diprogramkan untuk bertindak sama dalam semua
hal. Kata pepatah, dalam setandang kelapa tidak serupa semuanya. Jadi, sudah
menjadi fitrah manusia mempunyai pandangan berbeza dalam pelbagai perkara.
Inilah
keistimewaan yang Allah berikan kepada manusia yang menjadi warna-warna
kehidupan. Manusia hidup dalam kepelbagaian cara berfikir, sikap, minat dan
kebolehan.
Perbezaan
pendapat nampak ketara dalam urusan kehidupan seharian, terutama dalam soal
politik atau pentadbiran negara. Masing-masing mengaku lebih bijak dan
berkemampuan untuk mentadbir negara lebih baik berbanding pihak lain.
Setiap
orang mempunyai perancangan dan tindakan yang berbeza dalam politik. Sebab itu
terdapat banyak parti politik yang memperjuangkan ideologi yang berbeza.
Parti
politik sepatutnya menyatukan kelompok manusia menjadi lebih baik dalam
kesatuan. Sebarang percanggahan pendapat dengan parti politik lain tidak
seharusnya dilihat jurang membawa kepada keburukan.
Usahlah
digadaikan keharmonian hidup bermasyarakat disebabkan perbezaan pandangan dalam
bab politik atau seumpamanya. Hormati pandangan orang lain tanpa perlu
menggadaikan maruah diri sendiri.
Sesungguhnya
perbalahan yang mengakibatkan permusuhan sesama sendiri hanya merosakkan
kehidupan bermasyarakat dan bernegara.
Firman
Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: “Dan taatlah kamu kepada Allah dan
Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu
menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu dan sabarlah (menghadapi segala
kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah berserta orang yang sabar.”
(Surah al-Anfal, ayat 46)
Biarpun
berlainan ideologi politik, perkara pokok dalam berpolitik yang tidak boleh
berbeza ialah untuk mencari keredaan Allah. Menyertai parti mana sekalipun,
hukum agama jangan sekali-kali dipersendakan.
Jangan
kerana ingin mendapat sokongan dari pihak tertentu, hukum agama dipandang
ringan. Sanggup menidakkan apa yang ditetapkan oleh agama demi untuk berkuasa.
Mengambil tindakan yang nyata mendatangkan mudarat kepada agama Islam.
Umat
Islam perlu menjadikan al-Quran dan al-Hadis sebagai panduan jika berlaku perselisihan
dalam urusan kehidupan. Keputusan mesyuarat parti, manifesto mahupun perjanjian
tidak membawa erti jika ia bertentangan dengan ketentuan syariat.
Firman
Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: “Kemudian jika kamu berbantah-bantah
(berselisihan dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya
kepada (kitab) Allah (al-Quran) dan (Sunah) Rasul.” (Surah an-Nisa’, ayat 59)
No comments:
Post a Comment