Tuesday 6 February 2024

BUAH PALA DIJADIKAN REMPAH BERKHASIAT

 
Buah pala ialah satu genus tumbuhan tropika yang pokoknya malar hijau. Ia berasal dari Asia Tenggara. Biji dan selaputnya yang terkandung dalam buah pokok ini penting untuk dijadikan sebagai rempah.
 
Spesies yang paling penting dari segi perdagangan ialah pala harum yang berasal daripada Kepulauan Banda di Indonesia.
 
Sebatang pokok pala mempunyai ketinggian di antara 4-15 meter dan bersifat ‘unisek’, iaitu pokok hanya mengeluarkan bunga jantan atau betina sahaja. Oleh itu, pada kebiasaannya satu batang pokok jantan ditanam di antara 10 batang pokok betina.
 
Buah pala ialah buah jenis “drup” dan mempunyai bentuk yang berbeza di antara pokok yang berlainan seakan-akan telur dengan ukuran 20-30 milimeter panjang dan 15-18 milimeter lebar, namun ada pokok yang menghasilkan buah berbentuk bulat dan ada juga yang menghasilkan buah berbentuk pir.
 
Secara purata berat buah pala ialah dalam lingkungan 89 g dan bergaris pusat lebih kurang 5.6 cm. Pada pangkal biji melekat suatu kulit selaput keliling biji yang berwarna merah dan kelihatan kering seakan-akan renda.
 
Apabila buah ini masak, perikarpnya yang berwarna kuning dan mempunyai ketebalan 1.5 cm terbelah dua dan mendedahkan biji yang berwarna perang keungguan serta berkilat.
 
Bahagian perikarpnya, walaupun terlalu masam dan kelat untuk dimakan dalam keadaan segar, ia boleh diproses untuk dijadikan halwa, kandi dan jeruk pala. Kedua-dua biji dan selaputnya boleh dikeringkan dan digunakan sebagai rempah.
 
Biji pala ini digunakan sebagai rempah, bahan perisa untuk masakan yang manis seperti kek dan masakan yang menggunakan susu manakala kulit yang disebutkan sebagai "bunga pala" atau "kembang pala"  digunakan dalam penyediaan berbagai jenis makanan, terutamanya untuk memberi perisa pelbagai jenis sos dan kicap.
 
Kedua-dua biji dan aril buah pala mengandungi minyak pala dengan perisa yang berbeza. Sejenis minyak yang bersifat tepu pada suhu bilik juga boleh dihasilkan daripada biji pala; minyak ini digunakan sebagai minyak ubat sapu dan untuk pembuatan minyak wangi.
 
Bijinya dikeringkan secara perlahan-lahan di bawah cahayamatahari dalam tempoh selama enam hingga lapan minggu. Pada masa ini, ia mengecut daripada biji benih yang keras sehinggalah lapisan kernel di dalamnya boleh menghasilkan bunyi apabila digoncang setelah kering sepenuhnya.
 
Buah pala banyak digunakan sebagai pengubatan tradisional untuk mengatasi masalah diare, masuk angin, gangguan ginjal, dan mual. Manfaat ini kerana adanya kandungan protein, karbohidrat, minyak atsiri, sodium, kalsium, vitamin (A, C, B1), asam oleanolat, dan lain sebagainya.
 
Buah pala juga memiliki sifat antibakteri, antikanser dan antiradang. Sehingga pala dapat mengatasi berbagai masalah peradangan baik di dalam tubuh maupun di luar (kulit).
 
Pokok pala mudah ditanam menggunakan biji. Memandangkan ia jenis pokok saka yang besar, tidak boleh ditanam di dalam pasu.

No comments:

Post a Comment