Wednesday 24 January 2024

SAMBUTAN THAIPUSAM DI MALAYSIA MERIAH

 
Hari Thaipusam merupakan satu perayaan yang disambut oleh masyarakat beragama Hindu di seluruh dunia. Perayaan ini bagi menghormati dewa Hindu, iaitu Dewa Murugan atau juga dikenali Dewa Subramaniam. Perayaan ini disambut pada bulan kesepuluh dalam kalendar Tamil yang dikenali juga sebagai bulan 'Thai'. Pada hari Thaipusam, bulan penuh melintasi bintang terang.  
 
Bagi penganut yang beragama Hindu, Thaipusam adalah hari untuk menunaikan nazar dan menghapuskan dosa-dosa dan bertaubat sepenuhnya akan kesalahan yang lepas. 
 
Bukan semua penganut Hindu akan menunaikan nazar. Nazar ialah memohon hajat kepada Dewa Murugan dan jika permohonan dikabulkan, maka satu acara tertentu diadakan sebagai tanda kesyukuran.
 
Biasanya, murid yang akan menduduki peperiksaan, wanita yang berhajat untuk mengandung tetapi belum mendapat kurniaan Ilahi, lelaki yang meminta nazar semoga ibu bapanya selamat daripada pembedahan waima sakit merupakan antara faktor utama penganut Hindu memohon nazar.
 
Pada hari itu mereka akan membawa susu yang diisi dalam belanga kerana susu itu dianggap paling suci . Susu ini diisikan dalam belanga tembikar atau kini dalam belanga aluminium. Belanga berisi susu ini akan dihias dengan pelbagai corak, warna, daun dan benang. 

Belanga ini akan dijunjung di atas kepala dari luar kuil hinggalah ke dalam kuil. Walau bagaimanapun, bukan semua penganut Hindu membawa belanga berisi susu ini. Hal ini demikian kerana pembawaan belanga bukanlah kewajipan dalam meraikan kebesaran Tuhan Murugan.
 
Ramai juga lelaki Hindu yang mencukur rambut pada hari tersebut dan mewarnakan kepala yang botak itu dengan warna kuning daripada kunyit. Perkhidmatan menggunting rambut ini ada disediakan di luar kuil dengan bayaran tertentu. Amalan ini merupakan satu bentuk melepaskan atau membayar nazar atau melupakan sesuatu peristiwa yang sedih dan menanti hari-hari yang baik yang bakal menjelma.
 
Sebelum menyambut Thaipusam, penganut agama Hindu akan berpuasa selama sebulan untuk tujuan membersihkan jiwa. Dalam tempoh sebulan ini, mereka berpuasa dengan makan sayur sehari sekali dan sentiasa mengunjungi kuil.
 
Manakala 24 jam sebelum menyambut Thaipusam pula, mereka akan berpuasa sepenuhnya. Masyarakat yang beragama Hindu di Malaysia, biasanya akan menyambut perayaan Thaipusam ini di Batu Caves, iaitu sebuah tempat suci bagi masyarakat Hindu di Malaysia.
 
Bagaimanapun, terdapat lokasi di seluruh Malaysia yang turut dijadikan tempat untuk sambuatan Thaipusam bagi penganut Hindu yang tidak ke Batu Caves.
 
Pada hari Thaipusam, penganut agama Hindu akan membawa patung Dewa Subramaniam, iaitu anak bongsu Dewa Siva, di atas pedati perak dan diarak dengan muzik tradisi.
 
Selain itu, antara ciri utama perayaan Thaipusam ini, penganut agama Hindu juga akan membawa 'kavadi', iaitu sebuah kerangka besi yang dihiasi dengan bunga, kertas berwarna-warni, dan buah-buahan segar yang dijunjung di atas bahu. Ini adalah sebagai tanda membayar nazar atau bertaubat kepada Dewa Subramaniam.
 
Bagi sesetengah penganut agama Hindu juga, mereka akan mencucuk logam atau besi yang menembusi kulit tubuh, lidah, pipi, dan anggota badan yang lain bagi tujuan membersihkan dosa dan menyucikan diri. Mereka akan berkumpul beramai-ramai sambil membawa 'kavadi'.
 
Kavadi ini diperbuat daripada beberapa rod besi atau kayu yang di atasnya terletak patung dewa Murugan dengan pelbagai saiz dan bentuk. Antara hiasan utama kavadi ialah bulu burung merak dan bunga-bungaan.
 
Pembawa kavadi ini lazimnya terdiri daripada lelaki, perempuan, tua, muda dan kanak-kanak. Berat dan saiz kavadi ini bergantung pada kemampuan seseorang. Selain itu pembawa kavadi akan diiringi oleh beberapa orang pembantu khas dari tempat masing-masing. 

Selain itu ada kavadi yang diiringi dengan kumpulan muzik , mangkuk perasap kemenyan dan lain-lain. Dari semasa ke semasa, pembawa kavadi akan berehat di tangga-tangga tertentu , berehat dan diberi minum. 
 
Pelbagai cara "menyeksa diri" dilakukan bagi menunjukkan mereka memohon ampun. Antaranya ialah berjalan di atas kasut berpaku. Mereka melangkah perlahan-lahan mendaki tangga-tangga kuil hingga tiba ke sisi patung Dewa Murugan di dalam gua Batu Caves.
 
Ada juga dalam kalangan pembazar nazar atau peminta ampun yang mencucuk 
panah besi pada lidah dan pipi dari kiri ke kanan dengan panah pendek dan panjang. Yang lain pula mencucuk belakang mereka dengan puluhan mata pancing yang bersaiz 10 sentimeter.
 
Boleh dikatakan semua pembayar nazar berada dalam keadaan separuh sedar kerana telah menggunakan bahan-bahan tertentu. Ada juga yang percaya, dewa yang memberi "kuasa" kepada mereka untuk berbuat demikian dan mereka seolah-olah jalan terumbang-ambing dan berada dalam keadaan separuh sedar.
 
Perayaan Thaipusam lebih meriah di Malaysia jika dibandingkan dengan di India, Hal ini berlaku demikian kerana di India, Pesta Ponggal lebih meriah berbanding dengan Thaipusam. 

Mengikut kajian, Thaipusam dapat menyatupadukan semua penganut Hindu dari pelbagai ladang dan bandar yang berkumpul di beberapa buah kuil Hindu yang besar sahaja. Selain disambut di Malaysia, negara lain seperti Singapura, Afrika Selatan, Sri Lanka dan lain-lain juga meraikannya.

No comments:

Post a Comment