Friday, 1 May 2026

BANGSA YAHUDI DI INDIA

 
Asal keturunan Yahudi berakar umbi daripada Bani Israel, iaitu keturunan Nabi Yaakub (yang digelar Israel) bin Ishak bin Ibrahim. Mereka merupakan rumpun bangsa Semitik yang berasal dari Timur Tengah, berkait rapat dengan ajaran Taurat yang dibawa oleh Nabi Musa selepas keluar dari Mesir.
 
Keturunan Yahudi berkembang dan tinggal di banyak tempat, termasuk di India. Komuniti Yahudi di India mempunyai tradisi lisan yang mendakwa mereka berasal daripada suku Manasseh, salah satu daripada Sepuluh Suku Israel yang dibuang negeri pada tahun 720 Sebelum Masihi oleh penakluk Assyria.
 
Sejarah lisan mereka menceritakan penghijrahan berabad-abad lamanya melalui Parsi, Afghanistan, Tibet dan China, sambil terus mengamalkan beberapa amalan agama Yahudi seperti berkhatan.
 
Mereka juga mengamalkan beberapa adat dan ritual seperti pengorbanan haiwan yang menyerupai amalan Israil kuno.
 
Pertubuhan Shavei Israel, yang berusaha menjejaki keturunan suku yang hilang itu berkata, kira-kira 4,000 Bnei Menashe sudah berhijrah ke Israel sejak tahun 1990-an, manakala kira-kira 7,000 lagi masih tinggal di India.
 
Tahun 2005, Rabbi Shlomo Amar, Ketua Rabbi Sephardi Israel, secara rasmi mengiktiraf komuniti Bnei Menashe tersebut sebagai “Zera Yisrael” atau benih Israel. Keputusan itu dibuat selepas yakin dengan sejarah serta amalan keagamaan mereka yang berterusan selama bertahun-tahun.
 
Namun, ujian DNA pada Yahudi India tidak menunjukkan persamaan genetik dengan Yahudi di Israel. Sebaliknya, dari sege genetik mereka lebih dekat dengan populari tempatan India. Secara saintifik, mereka lebih hampir kepada etnik Mizo, Kuki, dan Chin di India Timur Laut dan Myanmar.
 
Pun begitu, pihak Yahudi masih menerima kumpulan itu sebagai keturunan Yahudi. Tidak pasti apa alasan penerimaan itu.
 
Kumpulan ini akan dipindahkan ke Israel dan diterima sebagai warganegara.
 
Gambar sekadar hiasan. 

No comments:

Post a Comment