Allah mewujudkan golongan kaya dan fakir
miskin supaya antara kedua golongan itu dapat hidup saling membantu, saling
menggunakan kepentingan dan saling menghormati.
Allah menjadikan golongan kaya dan miskin
dengan hikmah-Nya. Firman Allah: “Dan Allah telah melebihkan sebahagian kami
daripada sebahagian yang lain dalam hal rezeki.” (Surah al-Nahl, ayat 71).
Kita perlu sedar realiti kehidupan yang
mana kedua-dua golongan kaya dan miskin saling memerlukan. Golongan kaya
mendapat harta dengan menggunakan tenaga orang miskin (secara relatif) sebagai
buruh. Manakala golongan miskin pula mendapat upah atas khidmat yang
diberikan.
Sekiranya semua orang memiliki kekayaan
yang sama dan tidak lagi mengharapkan upah daripada orang lain, tidak ada
individu yang sanggup melakukan kerja untuk orang lain. Ketika itu,
kekayaan tidak mempunyai apa-apa erti lagi.
Bersedekah termasuk dalam kategori
membelanjakan harta ke jalan Allah. Ganjaran yang diterima berlipat ganda
berbanding apa yang telah dibelanjakan. Allah Maha Kaya melimpahkan rezeki
berganda kepada hamba-Nya yang melakukan amalan kebajikan.
Firman Allah bermaksud: “Perumpamaan orang
yang menggunakan hartanya kepada jalan Allah, bagaikan biji yang tumbuh menjadi
tujuh tangkai. Pada setiap tangkai itu berbuah seratus biji dan Allah melipat
gandakan (pahala) bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Mengetahui.”
(Surah al-Baqarah, ayat 261).
Walaupun golongan kaya telah menyumbang
kepada golongan miskin dalam bentuk upah atau membayar khidmat yang dilakukan,
adalah lebih baik ditambah pula dengan dengan sedekah. Memberi upah adalah
tanggungjawab majikan yang tidak termasuk dalam kategori sedekah.
Sedangkan sedekah adalah memberi kepada
orang lain tanpa mendapat apa-apa balasan daripada orang itu yang menjadi
lambang keikhlasan. Apa diberikan itu semata-mata kerana ketakwaan kepada Allah
tanpa mengharapkan balasan daripada penerima sedekah itu.
Orang yang bersedekah membuktikan dirinya
tidak dilalaikan dengan kemewahan yang dimiliki. Harta adalah sebagai ujian
untuknya.
Sesiapa ingin bersedekah hendaklah
mempastikan segala perbelanjaan diri sendiri dan keluarga dipenuhi. Sebenarnya
tidak harus seseorang itu bersedekah sekiranya keperluan sendiri tidak mampu
dipenuhi. Dia sepatutnya menerima sedekah dan bukannya memberi
sedekah.
Maksud memenuhi keperluan hidup ialah
berkaitan keperluan asas seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal yang
seadanya telah dimiliki. Konsep ingin bersedekah hanya apabila semua apa
dikehendaki dipenuhi maka tidak mungkin dapat dilakukan kerana kehendak manusia
tidak pernah merasa cukup dengan apa yang dimiliki.
Sesungguhnya harta itu ialah amanah Allah
kepada seseorang. Kita hanya sebagai penjaga. Menyedari hakikat itu, maka
belanjakan ia mengikut seperti perintah pemilik hakikinya, iaitu Allah.
Setiap apa yang dilakukan di dunia ini
bukan saja memberi kesan di dunia saja, bahkan ia turut menentukan kedudukan
seseorang di akhir nanti. Sesungguhnya setiap apa yang dilakukan, tidak
kira sebesar zarah, sama ada baik atau buruk tetap diperlihatkan di akhirat
kelak, yakni menerima pembalasan yang setimpal.
No comments:
Post a Comment