Untuk berjaya kita kena ada hati yang
keras. Sanggup berusaha melebihi yang biasa-biasa. Mampu bertahan dalam apa
juga cabaran dan keadaan.
Hati yang keras tidak mudah kecewa dengan
kegagalan. Malah hati itu terus mengeras dan lebih berdaya tahan.
Apabila memiliki hati yang keras, berkalu-kali
jatuh tidak akan hancur. Tetap tegar. Tidak luntur semangatnya. Kekal dan terus
berusaha.
Semangat hati yang keras tidak takut kepada
kegagalan, biarpun itu bukan yang diharapkan. Gagal adalah tonik untuk
kejayaan. Setiap kali gagal, ia semakin yakin untuk berjaya.
Namun, keras hati yang mendatangkan
kebaikan adalah keras untuk melakukan kebaikan. Jangan jadi hati yang keras
kerana sudah hitam dengan dosa dan kejahatan yang dilakukan.
Bagi hati yang keras sedemikian perlu
dibersihkan dan dilembutkan. Kalau terus dibiarkan keras, maka lebih banyak
keburukan yang akan dilakukan.
Hati yang keras akan cenderung kepada
perkara yang mengundang dosa, perbuatan sia-sia dan mungkar.
Allah banyak kali mengingatkan kita dalam
Al-Quran bahawa celaka dan rugilah bagi orang Mukmin yang hatinya keras untuk
beramal soleh dengan amalan yang mendekatkan diri mereka dengan Allah.
Berbeza dengan Mukmin yang hatinya jernih
dengan titik kebaikan, akan mudah menerima ilmu dan taat akan agama Allah.
Orang yang hatinya bersih akan tersisih dari perkara yang dilarang bahkan hanya
terarah kepada perbuatan yang hanya mendatangkan pahala Allah SWT.
Setiap Mukmin perlu sentiasa berusaha
mencari jalan mendidik dan merawat hati kerana hati yang sentiasa dirawat dan
disuburkan dengan amalan soleh mudah tunduk akan setiap perintah Allah.
Bahkan hati yang lembut akan mudah
memperoleh ketenangan yang membuatkan dirinya menjadi hamba yang beramal soleh.
No comments:
Post a Comment