Friday 2 September 2022

ZAKARIA BERIS PENGETUA SMA AMIR INDERA PETRA

 
Tuan Guru Haji Zakaria Beris. Nama penuhnya ialah Tuan Guru Haji Zakaria Bin Abdul Latif Bin Haji Ali Bin Awang dan beliau dilahirkan di Kampung Chabang Tiga Melawi, Repek, Bachok, Kelantan. Ibunya bernama Aminah Binti Abdul Rahman Bin Hussein.

Sejak kecil lagi beliau diasuh dan dididik dengan didikan agama serta asas al-Quran oleh kedua orang tuanya. Beliau mendapat pendidikan awal di sekolah Melayu Bachok pada tahun 1935 hingga tamat darjah lima pada tahun 1939.

Kemudian beliau menyambung pengajian di Sekolah Arab Ibrahimiyah, Padang Pak Amat, Pasir Puteh bermula dari tahun 1940 hingga lulus darjah dua pada tahun 1941.

Selepas tentera Jepun mendarat di Kota Bharu, Sekolah Arab Ibrahimiyah terpaksa ditutup maka beliau meneruskan pengajian di Jame' Merbau al-Ismaili pada tahun 1942 hingga tamat darjah 6 pada tahun 1947. Tidak lama selepas itu, beliau mengikuti pengajian di Masjid Muhammadi.

Di antara gurunya ialah:
- Tuan Guru Abdul Rab al-Tamimi Bin Abdul Rauf
- Tuan Guru Haji Wan Ahmad Bin Wan Ali
- Tuan Guru Haji Wan Sulaiman Bin Haji Ibrahim
- Tuan Guru Haji Ali Pulau Pisang
- Tuan Guru Haji Nik Man Khatib
- Tuan Guru Haji Ishak Bin Samsudin
- Mufti Tuan Guru Haji Muhammad Nor Penambang
- Mufti Tuan Guru Haji Ahmad Maher
- Tuan Guru Haji Azhari Bin Abdul Rahman Melor
- Tuan Guru Abdul Hadi Bin Haji Yaacob Perak
- Mufti Tuan Guru Haji Ismail Bin Yusuf
- Tuan Guru Haji Abbas Tok Jiring

Selepas selesai menuntut ilmu, beliau dilantik oleh MAIK sebagai guru bahasa Arab di Madrasah Ibrahimiah, Padang Pak Amat pada tahun 1948. Pada 1952, beliau berpindah ke Madrasah Amir Indera Petra Beris Kubur Besar hingga 1954. Seterusnya pada 1955, Tuan Guru bertukar pula ke SMA Yaakubiah Nipah.

Pada Julai 1955, beliau dilantik sebagai pemangku guru besar di SMA Amir Indra Petra Beris Kubur Besar. Pada 1956, beliau bertukar ke Maahad Muhammadi bahagian Melayu dan Arab.

Pada 1961 pula, beliau bertukar ke SMA Amir Indera Petra Beris Kubur Besar sebagai guru penolong dan pada 1979 Tuan Guru Haji Zakaria dilantik sebagai pengetua di sekolah yang sama sehingga bersara pada tahun 1982.

Selepas itu beliau dilantik oleh Yayasan Islam Kelantan sebagai tenaga pengajar di pusat pengajian Pondok Telok Kandis, Bachok mulai 1987 sehingga beliau meletak jawatan kerana keuzuran.

Selain daripada itu berikut merupakan jasa beliau di dalam bidang kemasyarakatan:
- Memberi kuliah agama 
- AJK Pengelola Kemajuan SMA Indera Petra
- Pengerusi bersama Sekolah Kebangsaan Beris Kubur Besar
- AJK Masjid Pak Kari Beris Kubur Besar
- Ahli Jawatankuasa JKKKK Beris Kubur Besar
- Penolong Pengerusi Badan Kebajikan Pondok Teluk Kandis
- Mengarang kitab terjemahan dari kitab Tarikhul Qayyat yang dijadikan sebagai buku teks sekolah agama dan Arab dalam tahun 1950an.

Beliau meninggal dunia di kediamannya di Kampung Pondok Beris Kubur Besar pada 10 Disember 2005 jam 6.15 petang. Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Beris Kubur Besar.

Moga Allah Taala merahmati roh auliaNya. Amin

*Sumber - 100 Tokoh Guru Maahad Muhammadi

No comments:

Post a Comment