Tuesday, 17 March 2026

JUMLAH PARTI POLITIK TERKINI 2026

 
Pada Mac 2026, sebanyak 72 parti politik berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) mengikut Akta Pertubuhan 1966. Sebahagian besarnya dijangka bersaing dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.
 
Mengikut Perkara 10 (1)(c) Perlembagaan Persekutuan menyatakan tidak boleh sekat individu atau masyarakat membuat persatuan atau menubuhkan parti politik.
 
Secara keseluruhannya, trend dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini menunjukkan peningkatan yang sederhana dan terkawal. Ada juga parti politik yang diwujudkan bagi menjaga kepentingan etnik.
 
Pertambahan pendaftaran parti politik kebiasaannya dipengaruhi perkembangan landskap politik semasa serta minat kumpulan tertentu menubuhkan platform politik bagi menyuarakan kepentingan atau agenda mereka.
 
Peningkatan bilangan parti politik ini tidak semestinya membimbangkan selagi beroperasi secara sah dan adanya tadbir urus yang baik.
 
Daripada 72 parti berdaftar itu melibatkan 100,869 cawangan, membabitkan lima gabungan besar iaitu Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Gabungan Parti Rakyat Sabah (GPRS) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
 
Sejak 2024 hingga Mac 2026, hanya empat parti baharu diluluskan ROS iaitu Parti Gemilang Anak Sabah, Parti Perjuangan Rakyat, Parti Rumpun Sabah dan Parti Hati.
 
Daripada 72 parti itu, 41 adalah di Semenanjung, manakala bakinya berpangkalan di Sabah dan Sarawak.
 
ROS tidak campur tangan dalam soal perlembagaan dan keputusan parti selalunya adalah muktamad. ROS cuma melihat dalam aspek teknikal, pertikaian dan peraturan sesebuah parti itu berjalan yang mana jika berlakunya pelanggaran, notis akan diberikan kepada mereka.
 
Pada masa sama, ada juga parti dibatalkan pendaftarannya oleh ROS sebelum ini atas kesalahan tertentu, antaranya tidak menghantar penyata tahunan atau berlaku pertikaian di antara ahli, namun dibenarkan beroperasi semula selepas rayuannya diterima.
 
Antaranya membabitkan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) dan Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA).
 
Setiap permohonan pendaftaran parti politik tetap melalui proses penilaian yang teliti bagi memastikan ia memenuhi semua keperluan perundangan sebelum kelulusan diberikan.
 
Secara prinsipnya, peningkatan pendaftaran parti politik tidak semestinya memberi kesan negatif kepada tadbir urus demokrasi. Sebaliknya, kepelbagaian parti politik boleh mencerminkan tahap keterbukaan sistem politik serta peluang penyertaan rakyat dalam proses demokrasi.
 
Bagaimanapun, aspek yang lebih penting ialah memastikan semua parti terbabit berfungsi secara bertanggungjawab, berlandaskan undang-undang, dan mematuhi prinsip tadbir urus yang baik.
 
Dalam hal ini, ROS terus memainkan peranan kawal selia bagi memastikan setiap parti politik yang berdaftar mematuhi keperluan undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa.
 
ROS turut mendedahkan wujudnya beberapa pendaftaran parti politik terpaksa ditolak kerana menampilkan cadangan nama dan matlamat pertubuhan yang bercanggah kepentingan awam, keselamatan atau ketenteraman negara.
 
Antara pendaftaran yang ditolak setakat ini ialah 'parti sampai pagi'; 'parti hijau' dan 'parti ultimax'.

No comments:

Post a Comment