Hadis
palsu atau istilah hadisnya dikenali sebagai Hadith al-Maudhu. Hadis
palsu tidak layak dipanggil hadis. Namun, untuk menjelaskan ia adalah palsu,
maka dikatakan hadis palsu. Ia tidak sekali-kali disandarkan kepada Rasulullah
SAW.
Hadis
adalah apa diucapkan atau dilakukan Rasulullah. Hadis dijadikan sumber hukum
atau panduan orang Islam. Sekarang ini mudah sangat dibuat penyebaran sesuatu
tulisan, gambar mahupun video. Maka ada yang gemar untuk salin dan tampal tanpa
megetahui kebenaran perkara berkenaan.
Antara
yang gemar disalin dan ditampal ialah berkaitan hadis yang menawarkan ganjaran
besar kerana melakukan sesuatu amalan. Maka itu ada-ada saja yang didakwa
sebagai hadis dan disebarkan.
Di
kalangan peniaga atau pengamal perubatan pula sering menjadikan hadis palsu
untuk melariskan perniagaan yang kononnya apa yang dijual itu ada disebut
kehebatannya di dalam hadis.
Soal
hadis jangan diambil mudah untuk disebarkan jika kita tidak tahu mengenai
kebenaran atau kedudukan hadis berkenaan. Tidak memadai untuk kita terlepas
daripada kesalahan dengan hanya membuat pengakuan bahawa itu hanya disalin dan
ditampal dari group sebelah.
Nabi
Muhammad SAW bersabda, "Sesungguhnya pembohongan yang dilakukan ke atasku
adalah tidak sama dengan pembohongan yang dilakukan ke atas orang lain. Sesiapa
yang membuat pembohongan terhadapku dengan sengaja, maka bersedialah dia dengan
tempat duduknya di dalam api neraka." (Hadis sahih direkod oleh Imam
al-Bukhari).
Walaupun
tidak berniat untuk melakukan pendustaan terhadap Rasulullah, tetapi dengan
tindakan menyebarkan hadis palsu sedangkan mereka sudah dijelaskan kepalsuan
hadis itu, mereka telah terjebak dalam melakukan pendustaan terhadap Rasulullah SAW.
Abu
Hurairah melaporkan, Nabi Muhammad SAW bersabda, "Cukuplah seseorang itu
sudah dianggap berdosa dengan dia menyebarkan segala berita yang didengar tanpa
disiasat terlebih dahulu." (Hadis sahih direkod oleh Imam Muslim).
Maka
itu, berhati-hati dalam melakukan penyebaran hadis kerana dibimbangi tersalah
sebar hadis palsu atau lebih tepat ia bukan hadis.
Imam
Ibn Hajar al-Asqalani meyatakan di dalam 'Nuzhah
al-Nazar' bahawa tanda-tanda hadis palsu boleh diperhatikan melalui
keadaan atau kedudukan perawi (sanad) dan juga isi kandungan periwayatan (matan).
No comments:
Post a Comment