Monday, 4 January 2021

MENONTON TELEVISYEN WAKTU DAHULU

Dahulu televisyen dianggap barangan mewah. Hanya keluarga berada sahaja memiliki televisyen. Ada juga yang membeli televisyen setelah pulang bekerja sebagai buruh di Singapura.

Jadi, mana-mana keluarga yang ada televisyen, maka banyaklah jiran yang menumpang untuk menonton. Memang penuh satu rumah.

Tuan rumah memang tidak kisah. Bahkan ada yang menjemput jiran-jiran untuk menonton bersama.

Tambahan pula, bukan menonton sepanjang hari. Masa siaran pun akan terhad.

Ada masa siaran rancangan pilihan yang jadi tumpuan. Yang pastinya siaran filem Melayu yang diadakan sekali seminggu. Begitu juga Drama Minggu ini dan Hiburan Minggu Ini.

Pada bulan Ramadan pula mereka menunggu untuk menonton siaran langsung Musabaqah Al-Quran peringkat kebangsaan dan antarabangsa yang diadakan secara berturutan.

Setiap kali Pesta Bola Merdeka pasti penuh penonton untuk menonton siaran langsung yang jarang-jarang sekali diadakan.

Di kawasan yang ada bekalan elektrik, bilangan keluarga yang memiliki televisyen lebih banyak berbanding yang tiada bekalan elektrik. Itu memang patutpun. Jadi, jiran boleh berbahagi-bahagi pergi ke rumah berasingan untuk mengelak kesesakan.

Manakala di kawasan tiada bekalan elektrik memang amat jarang untuk ditemui keluarga yang memiliki televisyen. Ada tu hanya ada satu keluarga sahaja yang memilikinya.

Untuk menghidupkan televisyen itu menggunakan mesin generator untuk membekalkan tenaga. Untuk menghidupkan generator pula memerlukan petrol.

Untuk menampung membeli petrol, ada tuan rumah yang menetapkan sesiapa ingin menonton dikenakan bayaran 10 sen atau 5 sen. Cukuplah untuk tuan rumah menampung membeli petrol atau membaiki televisyen yang kerapkali rosak.

Itulah keadaan dahulu yang mungkin tidak terbayang oleh generasi sekarang. Kini bukan sahaja setiap rumah memiliki televisyen, bahkan ada yang meletakkan televisyen dalam setiap sudut rumah atau bilik. Itu tidak termasuk lagi komputer riba dan telefon pintar yang turut boleh digunakan menggantikan fungsi televisyen.

No comments:

Post a Comment