Monday, 11 January 2021

TUGAS MENCARI REZEKI


Sesungguhnya syariat Islam menetapkan tugas mencari rezeki dan kebahagiaan hidup sebagai tugas utama, selain melakukan ibadat khusus. Hal ini membuktikan Islam tidak hanya menyuruh umatnya mengejar sepenuhnya kepada ibadat khusus.
 

Tambahan pula, banyak keburukan terpaksa dihadapi oleh umat Islam jika hidup dalam keadaan kemiskinan. Islam melihat kemiskinan sebagai penyakit yang dikhuatiri menyebabkan kesan buruk ke atas akidah, akhlak dan pemikiran seorang, maupun kaum atau kelompok masyarakat. 

Pendapat mengatakan kemiskinan adalah lumrah kehidupan yang sememangnya dijadikan oleh Allah dan tidak perlu dihapuskan membuktikan kejahilan dalam memahami kehendak sebenar ajaran Islam.

Sememangnya kemiskinan itu sebahagian daripada pelengkap kepada kehidupan manusia yang ada lawannya, iaitu apabila ada kaya maka ada miskinnya. Tetapi, ini tidak bermakna kita perlu sengaja menjadi miskin untuk melengkapkan semulajadi itu.

Bagi menunjukkan betapa pentingnya usaha mencari rezeki, banyak ayat yang meletakkan hubungkait ibadat dengan mencari kurniaan Allah. Ia secara langsung mengingatkan agar melakukan ibadah dan pada masa yang sama hendaklah berusaha untuk memenuhi keperluan hidup seharian.

Antara ayat tersebut bermaksud: “Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertaburlah kamu di muka bumi dan carilah apa yang kamu hajati dan limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak supaya kamu berjaya.” (Surah al-Jumaah, ayat 10).

Sesungguhnya Allah tidak mendatangkan rezeki secara bergolek atau terbang melayang tanpa diusahakan. Bahkan Allah menegaskan tidak akan memberi apa-apa kepada manusia yang tidak mahu berusaha.

Firman Allah dalam surah ar-Rad, ayat 11 bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka sendiri berusaha mengubahnya.”

Tegasnya ajaran Islam tidak hanya menyuruh umatnya berzikir dan berdoa semata-mata untuk mengubah nasib.

Justeru, seluruh umat Islam perlu lebih gigih meningkatkan taraf hidup agar setanding dengan umat lain. Sekarang ini umat Islam agak ketinggalan dalam pengejaran kekayaan dan kemajuan dalam pelbagai bidang. Maka itu umat Islam tidak dipandang tinggi dan sering ditindas.

Sebenarnya, banyak kebaikan dapat dilakukan jika kita memiliki harta. Orang berharta dapat menggunakan hartanya untuk mendapat balasan lebih banyak berbanding dengan orang miskin, agar berada di tempat lebih mulia di sisi Allah.

Selain dapat menyempurnakan kelima-lima Rukun Islam, orang kaya dapat membelanjakan hartanya ke jalan disukai oleh Allah. Antara amalan amat disukai Allah yang dapat dilakukan oleh golongan kaya ialah bersedekah. Balasan untuk orang bersedekah berlipat ganda sehingga tidak terduga banyaknya.

Firman Allah bermaksud: “Perumpamaan orang yang menggunakan hartanya kepada jalan Allah, bagaikan biji yang tumbuh menjadi tujuh tangkai. Pada setiap tangkai itu berbuah seratus biji dan Allah melipatgandakan (pahala) bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Mengetahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 261).

Sesungguhnya kebaikan itu hanya mampu dilakukan oleh orang berharta. Oleh itu, berushalah agar turut tergolong sebagai golongan kaya dan dapat pula melakukan amalan sedekah dan amalan-amalan lain yang dijanjikan berlipat-lipat ganda kebaikannya.


No comments:

Post a Comment