Saturday 18 November 2023

PRK KEMAMAN PELUANG BN CIPTA KEMENANGAN

 
Tarikh 18 Nov 2023, hari penamaan calon PRK Kemaman. Sepanjang 14 hari ke hadapan ini kita akan menempuhi cabaran besar bagi memenangi Pilihan Raya di Parlimen P040 Kemaman.
 
Jentera Barisan Nasional dari setiap pelosok negeri hadir seawal proses penamaan calon lagi bagi bersama mencorak strategi dan membanting kudrat untuk mencipta kemenangan luar biasa di bandar Kemaman yang sebelum ini menjadi lubuk tradisi kemenangan parti.
 
Umum tahu, PRK Kemaman ini diadakan kembali apabila mahkamah membatalkan kemenangan bekas Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamidi yang mewakili PAS pada Pilihan Raya Umum ke-15 lalu.
 
Hakim membuat keputusan tersebut selepas mendapati pempetisyen berjaya membuktikan elemen rasuah yang bertujuan mempengaruhi pengundi dalam keputusan pilihan raya Parlimen Kemaman dan tiada sebarang rayuan dibuat atas keputusan tersebut.
 
Barisan Nasional mengambil tanggungjawab dan sebulat suara telah memilih seorang calon yang mempunyai pengalaman melindungi kesejahteraan rakyat dan menjadi panglima kepada ribuan anggota untuk membela keselamatan rakyat.
 
Malah, calon yang ditawarkan ini amat memahami sejarah Kemaman, kerana beliau membesar bersama keluarga tercinta dan telah menabur jasa di daerah Kemaman ini.
 
Saya percaya dengan kekuatan personaliti yang ada pada calon dan kukuhnya Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan, pastinya kemenangan Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor nanti akan memangkin ekonomi dan kemakmuran Parlimen ini.
 
Sehinggakan, Menteri Besar Negeri Terengganu sendiri terpaksa tampil menjadi calon, walaupun kita perlu akui, Terengganu memerlukan seorang pemimpin yang fokus membantu mengangkat taraf ekonomi tempatan dan memikirkan kelangsungan pembangunan Negeri bukan menyimpan hasrat hati untuk menambah jawatan lagi.
 
Sudah sampai masanya rakyat memilih wakil untuk berkhidmat bukannya memilih pakatan parti yang asyik dengan percaturan politik ‘dah cukup jumlah’ yang tidak henti-henti.
 
Biarlah wakil yang mewakili rakyat Kemaman ini dapat fokus mentadbir Parlimen dan dapat berhubung terus dengan Kerajaan Perpaduan untuk urusan kemajuan yang lebih mudah dan tersusun rapi.
 
Ya, saya akui laluan kemenangan bukanlah semudah kita ingini walaupun jelas perbuatan merasuah pengundi Kemaman telah dibuktikan. Tetapi dengan gerak kerja tersusun BN, saya yakin pengundi Kemaman bijak menilai yang terbaik untuk kesejahteraan Parlimen ini.
 
Nasihat saya kepada jentera Barisan Nasional untuk kita berkempen secara sihat serta berhemah dan janganlah kita terikut cara mereka yang sarat dengan caci maki dan fitnah. Insya-Allah BN mampu kembali mendominasi dan kembali menjadikan Kemaman ‘biru ori’.
 
Kepada Allah SWT kita berserah.
 
Ahmad Zahid Hamidi
Pengerusi Barisan Nasional
Presiden UMNO
18 November 2023

No comments:

Post a Comment