Sunday 10 March 2024

GAJAH JADI KENDERAAN PEMBESAR PERAK

 
Sekeping foto sebuah keluarga pembesar Melayu menaiki gajah dipercayai dirakamkan pada tahun 1930 dikongsikan dalam media sosial menarik perhatian warga maya.
 
Gambar tersebut menunjukkan bahawa kira-kira 100 tahun lalu gajah merupakan benda mewah yang bukan mampu dimiliki sesiapa.
 
Ini kerana gajah pada zaman itu merupakan kenderaan atau mod pengangkutan darat terpenting sebelum adanya kereta dan jentera bermotor.
 
Orang-orang yang ternama atau yang kaya akan menaiki gajah untuk pergi ke sesebuah tempat atau menghadiri majlis-majlis rasmi.
 
Contohnya untuk ke istana, yang mana mempunyai gajah umpama memiliki kenderaan Rolls Royce pada hari ini.
 
Malah, kos untuk menjaga haiwan ini juga bukan sedikit selain memerlukan pengendali dan dijaga rapi.
 
Penggunaan gajah mula terhapus sedikit demi sedikit apabila kereta diperkenalkan selain kemerosotan industri perlombongan bijih timah menjelang 1940.
 
Merujuk kepada gambar yang tular itu, antara individu yang ada menaiki gajah tersebut termasuklah pemilik nama Jalan Che Yang Kalsom dan Jalan CM Yusof.
 
Kedua-dua orang tersebut ada di dalam gambar berkenaan.
 
Gambar tersebut dipercayai dirakam di pekarangan rumah pembesar tersebut sama ada di Jalan Bendahara atau Kampung Kuchai.
 
CM Yusof atau nama penuhnya Tan Sri Dato' Seri Haji Chik Mohamad Yusuf Sheikh Abdul Rahman, kemudian bergelar Dato' Bendahara Perak iaitu salah seorang Orang Besar Empat Perak.
 
Beliau merupakan anak kepada Sheikh Abdul Rahman dan ibunya, Mariam Kulop Mohd Yusuff. Datuknya, Kulop Mohd Yusuff Ngah dan moyangnya, Ngah Abdul Lassam pernah menjadi Dato' Panglima Kinta.
 
Beliau dianugerahkan gelaran Dato' Bendahara Perak oleh Sultan Perak, Sultan Yussuff Izzuddin Shah pada 1959 yang membawa gelaran Dato’.
 
Oleh: Zaki Salleh