Monday 2 October 2023

TAHI CICAK TERMASUK KATEGORI NAJIS

 
Secara umumnya, tahi cicak termasuk dalam kategori najis mutawassitah. Hal ini kerana menurut mazhab Syafie tahi, najis dan air kencing termasuk yang datang daripada haiwan adalah dikira sebagai najis. Tidak kira sama ada daripada binatang itu kecil atau besar.
 
Terdapat sebuah hadis daripada riwayat Ibn Masud, beliau berkata: “Aku telah membawa dua biji batu kepada Nabi SAW dan satu kotoran (tahi binatang yang kering). Baginda mengambil dua biji batu dan membuang kotoran tersebut, lalu bersabda: ‘Sesungguhnya ia ialah kotoran haiwan.’” (Riwayat Tirmizi (17); Ibn Majah (314); Ahmad (3685)
 
Mazhab Syafie berpendapat tinja, bahan buangan dan kencing itu adalah najis, sama ada daripada sekalian haiwan sekalipun binatang yang dimakan dan tidak dimakan.
 
Namun ada beberapa keadaan, iaitu keadaan apabila keberadaan najis itu susah dikawal dan dielakkan, seperti tahi burung di dalam masjid, tinja ikan di dalam air dan tinja belalang, dan tinja haiwan yang tidak ada darah mengalir di dalam badannya termasuklah cicak mengikut pandangan sebahagian ulama, maka ia dianggap najis juga, tetapi dimaafkan kerana sukar untuk dielakkan. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/550; Nihayah al-Muhtaj, 1/80).
 
Tahi cicak jika terkena atau melekat pada bahagian badan dan pakaian, maka hendaklah ia dibasuh untuk menghilangkan kesan najis. Sembahyang tidak sah jika ada najis terlekat pada bahagian badan atau pakaian yang dipakai ketika sembahyang.

No comments:

Post a Comment