Friday 10 November 2023

JENAKA GELAK KETAWA SEADANYA

 
Islam sebagai agama fitrah tidak melarang penganutnya berjenaka dan bergelak ketawa. Perlakuan tersebut adalah sifat semula jadi ini. Pun begitu, nikmat semula jadi ini perlu diraikan mengikut batasan yang dibenarkan syariat sesuai dengan kedudukan Islam agama yang syumul. Batasan dalam agama adalah pengawal yang membezakan antara adab Islam dan bukan Islam.

Anggapan mengatakan gelak ketawa hanya memberi kesan negatif adalah tidak tepat. Selagi kita mengutamakan aspek positif, maka aspek negatifnya dapat dikawal. Contohnya, jika ingin berjenaka jangan keterlaluan sehingga berlarutan terlalu lama. 

Sememangnya Islam menegah sesuatu yang keterlaluan dalam apa hal sekali pun. Islam menganjurkan sifat bersederhana. Jenaka yang berterusan akan menyebabkan hilang tumpuan kepada tugasan yang sepatutnya dilakukan.

Banyak orang menghabiskan masa berjenaka berjam-jam lamanya sehingga gagal melaksanakan tanggungjawab. Keadaan ini biasa berlaku di tempat kerja apabila berkumpul bersama-sama rakan setugas. Akibatnya produktiviti kerja berada di tahap yang amat rendah. 

Berdasarkan kepada situasi inilah mengapa ada pegawai atasan yang sentiasa kelihatan serius dan menegah pekerja seliaannya daripada berjenaka. Mereka menganggap jenaka di tempat bertugas sebagai satu kesalahan disiplin. 

Tidak hairanlah jika kita memasuki sebuah pejabat yang mana pekerjanya dalam keadaan serius. Wajah masing-masing kelihatan muram dan sukar untuk senyum. Mereka berada dalam keadaan tertekan. Jika ada masalah timbul, masing-masing mudah hilang kawalan diri. Keadaan ini memang tidak elok yang boleh menimbulkan kesan sampingan lain. 

Ali bin Abi Talib berkata: "Senangkanlah hati kamu sekali sekali jika tidak ia akan rosak kerana terlalu tertekan." Abu Darda juga ada berkata: "Aku sering bersenggang dengan perkara-perkara yang menghiburkan agar mendapat kekuatan untuk menegakkan keadilan."

Bagi individu yang normal ketawa dikatakan satu terapi atau penawar. Beberapa penyelidikan seluruh dunia telah dijalankan bagi membuktikan bahawa ketawa merupakan terapi yang mujarab dan berkesan terhadap masyarakat.

Dr Madan Kataria melalui artikel beliau bertajuk “Laughter is the Best Medicine” menyatakan ketawa membawa banyak manfaat antaranya kecerdasan minda dan tubuh badan. Sebagai pengasas terapi ketawa, beliau telah memberikan idea untuk mengadakan Hari Ketawa Sedunia yang berlangsung pada hari Ahad pertama dalam bulan Mei setiap tahun.

No comments:

Post a Comment