Monday 6 November 2023

SEJARAH PEMBINAAN KOTA BULUH KUBU

 
Pada zaman pemerintahan Sultan Muhammad II yang memerintah Kelantan sekitar tahun 1840, istana atau pusat pemerintahan baginda terletak di Pulau Saba. Pulau Saba terletak di tebing Sungai Kelantan berhampiran dengan kawasan Tambatan Diraja atau pejabat Jabatan Kastam Diraja Negeri Kelantan sekarang ini. Berhampiran Pulau Saba terdapat Kebun Mengseta yang menjadi tempat kediaman kerabat diraja.
 
Setiap kali musim banjir, Pulau Saba berdepan ancaman hakisan. Untuk mengurangkan hakisan tebing Pulau Saba, Sultan Muhammad II telah mengarahkan agar lencongan sungai dibuat.
 
Pada tahun 1840, sebatang anak sungai di tebing sebelah barat Sungai Kelantan iaitu dari Kampung Kutan hingga ke bendang Mokrat (dekat Kampung Palekbang sekarang) telah digali.
 
Anak sungai itu telah selesai digali pada tahun 1841 dan merupakan satu cabang dari Sungai Kelantan dan panjangnya adalah kira-kira lima kilometer. Tetapi anak sungai itu telah tertimbus dengan sekali banjir saja oleh pasir dan lumpur yang dibawa oleh arus banjir Sungai Kelantan.
 
Biarpun sebahagian sungai tersebut sudah tertimbus, kesan atau bentuk sungai tersebut masih wujud sehingga sekarang. Kesan atau tanda-randa sungai itu kini dikenali Sungai Raja Gali.
 
Apabila Sungai Raja Gali itu telah tertimbus, maka tebing Sungai Kelantan, terutama sekali tebing sebelah timur, mulai runtuh kembali apabila berlaku banjir. Keruntuhan tebing-tebing sungai itu mengancam keselamatan kota atau bandar Pulau Saba dan kawasan Kebun Mengseta.
 
Buntu untuk menyelamatkan Pulau Saba, Sultan Muhammad II telah memilih satu kawasan agak jauh dari tebing sungai untuk dibina pusat pemerintahan baharu. Kawasan tersebut mula dibina pada kira-kira tahun 1844 Masihi.
 
Salah satu yang dibina di kawasan tersebut ialah Istana Balai Besar yang masih kekal utuh sehingga sekarang.
 
Pada asasnya tapak Istana Balai Besar itu sebahagian daripada satu kawasan besar yang meliputi kira-kira empat ekar yang di panggil "Buluh Kubu" kerana kawasan tersebut dikelilingi oleh deretan pokok-pokok buluh peleting yang ditanam sebagai pagar yang besar.
 
Kawasan di dalam "Buluh Kubu" itu termasuk tapak Istana Balai Besar adalah menjadi hak Sultan yang memerintah secara turun-temurun. "Buluh Kubu" kemudiannya lebih terkenal dengan panggilan "Dalam Kubu".
 
Setelah kota itu siap dibina kira-kira pada tahun 1844 Masihi, Sultan Muhammad II pun berangkat dan bersemayam di kota serta istana yang baru itu. Kota dan istana itu pada mulanya dikenali atau dipanggil "Kota Bharu" mengambil sempena kota dan istana yang baru dibina itu. Ia segera berkembang menjadi pusat pemerintahan dan pentadbiran negeri Kelantan. Ia menjadi ibu negeri Kelantan di zaman moden ini.
 
Oleh sebab terjadi kekeliruan dengan kerana nama kota istana itu dipanggil "Kota Bharu" dan ibu negeri Kelantan juga dipanggil "Kota Bharu", maka Sultan Muhammad II menitahkan supaya kota istana tempat Baginda bersemayam itu diberi nama yang lain pula iaitu "Istana Balai Besar" supaya berbeza dengan Kota Bharu yang menjadi nama bandar dan ibu negeri Kelantan.

No comments:

Post a Comment