Monday 4 June 2018

PERNIAGAAN SALING MEMBERI MANFAAT

Islam amat menitikberatkan soal manfaat untuk semua. Tidak ada pihak yang boleh menindas mana-mana pihak lain biar dengan apa alasan sekalipun. Keuntungan dunia hanya sementara.

Dalam istilah perniagaan, sikap peniaga menaikkan harga sesuka hati atau memperdayakan pembeli dengan harga lebih tinggi dipanggil manipulasi harga. Amalan tersebut terjadi ketika pemintaan meningkat disebabkan faktor-faktor tertentu.

Dalam sistem ekonomi kapitalis, keadaan tersebut dibenarkan, bahkan mesti direbut oleh setiap peniaga. Peniaga dianggap bijak jika berjaya mewujudkan manipulasi harga yang memberi keuntungan lebih kepada mereka. 

Konsep yang dipengang ialah peniaga bebas menentukan harga berdasarkan kepada penawaran dan permintaan. Pergerakan barangan juga tidak boleh dikawal. Peniaga dianggap bebas untuk membawa keluar dan memasarkan barangan di mana yang disukai biarpun tindakan itu akan menyebabkan sesuatu kawasan mengalami kekurangan bekalan dan menyusahkan pengguna.

Konsep inilah yang ditekankan dalam amalan perniagaan era globalisasi dan liberalisasi. Pergerakan bebas barangan tanpa memikirkan kesan kepada pengeluar, peniaga lain dan pengguna dianggap kehebatan globalisasi.

Semakin besar keuntungan yang diperoleh, semakin besar juga sifat tamak di hati para peniaga yang dilalaikan hati mereka daripada mematuhi tuntutan syariat. Ketika itu, syaitan telah berjaya menguasai nafsu. Mereka bertindak melakukan perbuatan ditegah agama untuk mendapat keuntungan lebih. 

Hukum Islam menetapkan keadilan berdasarkan apa terbaik bagi kedua-dua pihak. Amalan perniagaan dalam Islam membenarkan turun naik harga barang berdasarkan kepada konsep keuntungan yang diperlukan oleh peniaga. 

Peniaga berhak menaikkan harga jika kos modal meningkat. Tindakan ini bagi memastikan peniaga terus mendapat keuntungan dan boleh meneruskan perniagaan. Jika peniaga rugi dan tidak dapat meneruskan perniagaan, pembeli juga menanggung kesannya.

Justeru, dalam menyelesaikan permasalahan tersebut, Islam mengharuskan peniaga meningkatkan harga. Bahkan, pembeli sendiri sudah pasti dapat menerima hakikat dan bersedia membayar lebih bagi mendapatkan barang yang diingini jika mengetahui kenaikan harga itu berpunca kenaikan kos.

Peniaga yang memperoleh keuntungan melalui cara penindasan dan penipuan dikategorikan sebagai makan riba. Pemakan riba mendapat balasan amat pedih ketika dibangkitkan di akhirat.

Firman Allah bermaksud: “Mereka yang makan riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk syaitan. Keadaan demikian berlaku kerana mereka mengatakan berniaga itu sama dengan riba, sedangkan Allah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba.” (Surah al-Baqarah, ayat 275).

No comments:

Post a Comment