Monday 4 June 2018

ETIKA PERLU DIPATUHI PENIAGA

Etika utama yang patut diamalkan oleh peniaga ialah jujur, amanah dan ikhlas. Peniaga sedemikian mendapat keuntungan dari perniagannya di dunia dan akhirat. Sabda Rasulullah bermaksud: “Peniaga yang jujur akan bersama-sama para nabi, siddiqin dan golongan mati syahid.” (Hadis riwayat Hakim dan Tirmizi).

Sebaliknya, peniaga yang melanggar etika, menjalankan perniagaan yang terkeluar daripada landasan ditetapkan Islam. Kepentingan untuk memberi kepuasan kepada pengguna tidak lagi menjadi matlamat. Apa yang dilakukan mendapat keuntungan secara batil dan dusta. Mereka mengejar keuntungan dunia, sedangkan di akhirat bakal berdepan pembalasan maha pedih.

Cahaya keimanan tertahan daripada menyinari hati-hati peniaga yang menafikan amanah dalam perniagaan. Itulah yang berlaku selagi manusia bersikap tamak dan menolak janji-janji Allah.

Firman Allah bermaksud: “Mereka itulah membeli kesesatan dengan petunjuk, maka tidaklah beruntung perniagaannya dan tidaklah mereka mendapat petunjuk.” (Surah al-Baqarah, ayat 16).

Perniagaan menggantikan amalan riba yang dijalankan berdasarkan kepada penindasan dan mementingkan diri sendiri. Tetapi, peniagaan yang dijalankan dengan unsur penindasan dan penipuan juga menjadi sebahagian daripada perbuatan berbentuk riba. 

Islam tidak mengiktiraf sebarang bentuk perniagaan yang tidak menepati etika ditetapkan syariat. Antara amalan yang menyebabkan urusan perniagaan menyerupai riba ialah peniaga menaikkan harga tidak munasabah sesuka hati.  

Peniaga tidak beretika mengambil peluang mendapat keuntungan lebih tinggi dengan menindas pembeli. Pembeli yang terdesak memerlukan barangan atau perkhidmatan terpaksa membayar lebih biarpun mengetahui harga sepatutnya lebih rendah daripada itu. 

Sikap pengguna yang sanggup bertolak ansur dalam perkara ini menyebabkan peniaga lebih mengambil kesempatan menindas pembeli.   

Kenaikan harga terlampau tinggi tanpa alasan munasabah menyalahi kontrak sosial atau hubungan baik antara peniaga dengan pembeli. Peniaga merasakan dirinya berkuasa penuh menentukan apa yang diingini.  

Dalam istilah perniagaan, sikap peniaga menaikkan harga sesuka hati atau memperdayakan pembeli dengan harga lebih tinggi dipanggil manipulasi harga. Amalan tersebut terjadi ketika pemintaan meningkat disebabkan faktor-faktor tertentu.

Dalam sistem ekonomi kapitalis, keadaan tersebut dibenarkan, bahkan mesti direbut oleh setiap peniaga. Peniaga dianggap bijak jika berjaya mewujudkan manipulasi harga yang memberi keuntungan lebih kepada mereka. 

Konsep yang dipengang ialah peniaga bebas menentukan harga berdasarkan kepada penawaran dan permintaan. Pergerakan barangan juga tidak boleh dikawal. Peniaga dianggap bebas untuk membawa keluar dan memasarkan barangan di mana yang disukai biarpun tindakan itu akan menyebabkan sesuatu kawasan mengalami kekurangan bekalan dan menyusahkan pengguna.

Konsep inilah yang ditekankan dalam amalan perniagaan era globalisasi dan liberalisasi. Pergerakan bebas barangan tanpa memikirkan kesan kepada pengeluar, peniaga lain dan pengguna dianggap kehebatan globalisasi.

No comments:

Post a Comment