Monday 4 June 2018

KESAN SPEKULASI DAN MANIPULASI

Islam menolak sistem yang membenarkan peniaga memperoleh keuntungan berlebihan yang nyata memberi keburukan kepada pengguna seperti diamalkan sistem ekonomi kapitalis. Spekulasi dan manipulasi berlaku dengan berleluasa dalam sistem ekonomi kapitalis yang sering kali menimbulkan keadaan tidak menentu dalam ekonomi.

Masalah harga petrolium dunia yang tidak stabil antara lain berpunca amalan spekulasi dan manipulasi yang diamalkan para pembekal dan peniaga. Sikap tamak pihak yang terlibat dalam uruniaga petrolium itu memberi kesan ekonomi yang besar kepada seluruh dunia. 
    
Nilai-nilai kemanusiaan dan tolong menolong tidak dipentingkan dalam sistem ekonomi kapitalis. Masyarakat global berbangga dengan sistem kapitalis yang didakwa sistem terbaik yang membangunkan ekonomi mereka. Sedangkan, sistem yang berteraskan nafsu itulah yang telah melahirkan masyarakat mementingkan kebendaan dan rosak akhlak.     

Manakala sistem ekonomi sosialis menetapkan urusan perniagaan sebagai memenuhi matlamat kesamarataan dalam masyarakat. Semua urusan perniagaan berada dalam kawalan tangan pihak pemerintah. 

Dalam sistem sosialis, peniaga sekadar dianggap menjadi agen kepada pemerintah dalam menyediakan keperluan rakyat. Sistem ini diamalkan di negara yang mengamalkan fahaman komunis. Bagaimanapun, semakin banyak negara komunis telah mengamalkan pasaran terbuka berasaskan kapitalis. 

Sebenarnya, urusan perniagaan bukan terhad membeli dan menjual barangan semata-mata. Bahkan, perniagaan juga meliputi penyediaan perkhidmataan, sewaan, pembuatan, pembinaan dan sebagainya.    

Islam membenarkan peniaga mendapat keuntungan di atas perkhidmatan diberikan kepada pengguna. Peniaga memperuntukan modal, kepakaran, fikiran, tenaga dan masa untuk tujuan itu. Di atas perkhidmatan itu peniaga berhak mendapat upah yang dipanggil untung.

Sesungguhnya antara pembeli dan peniaga saling memerlukan. Tiada peniaga tanpa pembeli dan tiada pembeli tanpa peniaga. Justeru, antara kedua-dua pihak perlu saling menghormati, menjaga hubungan baik dan memahami keperluan antara satu sama lain. 

Urusniaga perlu berjalan dalam suasana harmoni, selesa, selamat, berterusan dan memenuhi keperluan. Sebaliknya, sikap rakus dan tamak, menyebabkan urusniaga dipenuhi dengan tipu daya dan penindasan.

Dalam hal ini bukan sahaja pengguna menjadi mangsa, bahkan peniaga sendiri terdedah kepada kerugian. Pengguna juga kadang kala bijak menipu peniaga. 

No comments:

Post a Comment