Monday 4 June 2018

HENDAK KAYA KENA BERNIAGA

Dalam mana-mana masyarakat, majoriti jutawan dan hartawan terdiri kaum peniaga atau lebih popular dipanggil ahli perniagaan. Ahli peniagaan menguasai kekayaan dan ekonomi negara, menjadikan mereka berpengaruh dan dihormati dalam masyarakat. Kata orang, hendak kaya kena berniaga.  

Berniaga merupakan usaha mencari rezeki paling menguntungkan. Sebab itu Islam amat menggalakkan agar umatnya menjadi peniaga untuk merebut peluang keuntungan itu. 

Pada masa Nabi Muhammad berada di Madinah, didapati banyak orang kaya terdiri golongan peniaga. Bahkan aktiviti ekonomi di Madinah dikawal sepenuhnya golongan Yahudi yang menjadi peniaga.

Di negara kita, bangsa Cina menguasai ekonomi negara disebabkan majoriti bangsa itu menjadi peniaga. Bangsa Melayu patut mempelajari daripada bangsa Cina bagaimana hendak menjadi peniaga yang berjaya. 

Menyedari betapa penting bidang perniagaan, Nabi Muhammad banyak memberi panduan atau hukum mengenai urusan perniagaan. Terdapat kira-kira 500 hadis yang memperkatakan mengenai perniagan yang sebahagian besarnya menjelaskan bagaimana perniagaan perlu dilakukan mengikut kehendak syariat. 

Sebenarnya galakan menyertai bidang perniagaan bukan sahaja bermatlamat mencari keuntungan. Sebaliknya perniagaan adalah aktiviti penting yang perlu diutamakan dalam kehidupan seharian manusia. Peniaga membantu orang ramai mendapat apa yang diperlukan untuk menjalani kehidupan dengan lebih baik.

Ekonomi dan kesejahteraan rakyat bergantung kepada urusan perniagaan.  Sebab itu kegiataan perniagaan dibenarkan ketika musim haji, sedangkan kegiatan lain tidak dibenarkan. Hal ini membuktikan betapa pentingnya perniagaan dilakukan sebilang masa. Sekiranya aktiviti perniagaan dihentikan, seluruh sistem kehidupan manusia dengan sendirinya terhenti.

Islam menetapkan peraturan dalam urusan perniagaan bagi menjamin urusan berkaitan dengannya berjalan dengan lancar. Antara perkara yang ditekankan dalam perniagaan ialah keuntungan diperoleh semua pihak yang terlibat. 

Dengan kata lain, keuntungan bukan sahaja di pihak penjual, tetapi juga pembeli dan pihak-pihak lain. Jika diketahui akan ada pihak yang akan menanggung kerugian akibat urusniaga itu, maka hendaklah tidak diteruskan.

Antara perkara penting dalam urusan perniagaan ialah kejujuran dalam semua peringkat urusniaga. Kejujuran amat penting bagi mengelak berlaku penindasan. 

Islam menolak sistem yang membenarkan peniaga memperoleh keuntungan berlebihan yang nyata memberi keburukan kepada pengguna seperti diamalkan sistem ekonomi kapitalis. Spekulasi dan manipulasi berlaku dengan berleluasa dalam sistem ekonomi kapitalis yang sering kali menimbulkan keadaan tidak menentu dalam ekonomi.

No comments:

Post a Comment