Monday, 11 June 2018

CANTIK TATU INAI PADA MAJLIS PERKAHWINAN

Pengantin perempuan sanggup melakukan apa sahaja demi kelihatan cantik pada hari perkahwinan. Mereka sanggup berlapar berbulan-bulan demi untuk mendapat bentuk badan diingini. Produk pemutih kulit menjadi pilihan bakal pengantin untuk kelihatan lebih putih dan kulit gebu bersinar.

Pada masa dahulu, pengantin perempuan akan mandi bunga untuk menampakkan seri wajah dan menyegarkan badan. Pengantin perempuan juga akan mengasah gigi untuk kelihatan berseri. Memakai inai di jari pula dianggap satu kemestian.

Sekarang ini ada satu lagi fenomina dilakukan oleh pengantin perempuan ialah melukis tatu inai di tangan dan ada yang sehingga di bahagian kaki. Macam-macam bentuk jenis ukiran yang dibuat. Pelukis tatu inai sudah menjadi satu kerjaya kepada individu berkepakaran mengenainya.

Perkara ini pernah mencetukan perbincangan di kalangan ulama untuk menentukan sama ada perbuatan itu harus atau haram.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-88 yang bersidang pada 2 Oktober 2009 telah membincangkan Hukum Pemakaian Inai Bercorak Mengikut Syarak. Muzakarah telah memutuskan bahawa:
- Pemakaian inai pada kedua tangan dan kaki adalah diharuskan bagi wanita sama ada yang telah berkahwin atau belum selagi mana tidak menimbulkan fitnah.

- Walau bagaimanapun, kadar pemakaian inai di kedua-dua tangan dan kaki adalah terhad sehingga pergelangan tangan dan buku lali sahaja, manakala warna yang digunakan tidak bersifat kekal seperti tatu dan mengandungi sebarang unsur yang meragukan. Mengenai corak atau ukiran yang digunakan pula, corak atau ukiran daun dan tumbuh-tumbuhan adalah dibenarkan, manakala corak-corak haiwan, lambang dewa-dewa atau ajaran atau apa jua gambaran yang bertentangan dengan syarak adalah dilarang.

- Pemakaian inai pada kedua tangan dan kaki bagi lelaki adalah tidak diharuskan kecuali pada sebilangan jari bagi pengantin semasa majlis perkahwinan dan juga untuk tujuan perubatan.

Secara dasarnya, Islam membenarkan atau hukum harus dilakukan dalam perkara yang tidak dinyatakan secara jelas haram dilakukan. Namun, perlu juga difahami mengenai mengapa sesuatu itu perlu dibuat. Apa niat sebenar di sebalik sesuatu perkara itu dilakukan.

Jangan sekali-kali berlebih-lebihan dalam berhias atau melakukan sesuatu. Islam tidak suka kepada perbuatan keterlaluan. Berlebih-lebihan boleh mendorong timbulnya perasaan riak dan sombong.

Firman Allah SWT, "Dan juga mereka (yang diredai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu." (Surah al-Furqan, ayat 67)

Jadi, sebaik-baik amalan ialah bersederhana. Tidak perlu terikut-ikut dengan kehendak mereka yang terpengaruh dengan cara hidup atau budaya kaum lain. Kita ada jatidiri dan budaya sendiri yang perlu dipertahankan. Itu lebih mudah dan memberi keselesaan dalam persiapan majlis perkahwinan. Semoga majlis perkahwinan mendapat keberkatan dari Allah.

No comments:

Post a Comment