Wednesday, 30 May 2018

BERPUASA CARA CAPAI KEBAIKAN FIZIKAL DAN MENTAL

Pada tahun 1994, persidangan antarabangsa kali pertama untuk kesihatan dan Ramadan diadakan di Casablanca, Maghribi, yang membabitkan pembentangan 50 kertas kajian oleh pakar dari seluruh dunia mengenai kelebihan berpuasa kepada kesihatan.

Pelbagai kajian membuktikan bahawa berpuasa amat baik untuk kesihatan dan kesejahteraan tubuh manusia selain tiada satu pun kajian menunjukkan kesan buruk berpuasa kepada kesihatan.

Bagaimanapun, pesakit yang menghidap penyakit kronik yang teruk seperti sakit jantung, buah pinggang, strok dan sebagainya dinasihatkan tidak berpuasa.

Berpuasa akan meningkatkan fungsi hati dan proses detoksifikasi tubuh kita. Sel tubuh dan organ dalaman kita dapat dibersihkan daripada pelbagai toksin yang diserap sepanjang tahun.

Berpuasa juga meningkatkan sensitiviti insulin kepada sel tubuh dan ia membantu menyeimbangkan sistem metabolisme tubuh dengan mengawal paras gula dengan lebih baik, terutama kepada pesakit kencing manis.

Dengan mengawal pemakanan dalam bulan Ramadan, sel lemak yang terkumpul akan dibakar dan tubuh akan menjadi lebih kurus dan bertenaga. Oleh itu amat perlu kita tidak makan secara berlebih-lebihan pada waktu malam sepanjang Ramadan.

Ia perlu dikawal jumlah dan jenisnya. Jangan terlalu berat ketika berbuka puasa. Berbukalah sebagaimana yang disuruh oleh Rasulullah iaitu dengan makan buah kurma atau buah-buahan yang manis dulu.

Selepas solat Maghrib barulah makan makanan yang agak berat dan utamakan makan sayur-sayuran serta minumlah air secukupnya. Minumlah air mineral atau air kosong dan janganlah amalkan minum air manis dan air berkarbonat.

Air manis berkalori tinggi dan mempunyai gula yang banyak akan menyebabkan masalah kesihatan pada kemudian hari. Ambillah peluang untuk menjaga makanan yang kita makan dan bukannya kita makan sebanyak-banyaknya ketika berbuka hingga tersandar kekenyangan dan malas untuk bersolat.

Budaya kita di Malaysia dengan bazar Ramadan yang menyumbang kepada masalah makan berlebihan ketika berbuka. Ini kerana kita akan membeli makanan di bazar Ramadan ketika perut sedang lapar dan cenderung untuk membeli makanan secara berlebih-lebihan.

Apabila berbuka kita selalunya tidak habis dan akan membazir makanan. Sepatutnya berat badan kita akan menurun ketika bulan Ramadan tetapi malangnya ramai yang mengalami masalah berat badan bertambah.

Rahsia kesihatan dalam puasa Ramadan adalah bersahur. Bersahur juga membezakan puasa orang Islam dengan puasa agama lain. Dengan bersahur sempurna ia akan membekalkan tenaga secukupnya untuk kita berpuasa hingga matahari terbenam.

Jangan tinggalkan bersahur kerana jika kita tidak bersahur kita akan terlalu letih dan cenderung untuk makan berlebih-lebihan ketika berbuka. Makanlah makanan yang sihat ketika bersahur dan lebihkan buah-buahan, sayur-sayuran serta lauk-lauk berprotein tinggi.

Sahur amat digalakkan hingga ada ulama berpendapat ia hampir wajib. Yang paling utama, bersahur akan memberikan keberkatan dalam ibadah puasa yang kita laksanakan sebagaimana hadis Nabi SAW. Daripada Anas bin Malik RA: “Sahurlah kalian kerana dalam sahur terdapat barakah.”

Pada bulan Ramadan juga sangat baik bagi perokok berhenti daripada tabiat merokok. Jika seseorang boleh bertahan tidak merokok ketika berpuasa teruskanlah tidak merokok sepanjang malam.

Tumpukan perhatian kita kepada ibadah serta dapatkanlah kelebihan bulan Ramadan semaksimum mungkin dan lupakanlah rokok. Sia-sialah jika kita berpuasa sepanjang hari tetapi berbuka dengan rokok yang tidak putus-putus kita hisap hingga mengganggu orang lain untuk beribadah di masjid dan surau.

Dengan memfokuskan kepada ibadah dan juga memperbanyakkan membaca al-Quran maka kadar stres dan tekanan akan menurun. Stres yang tinggi dan tidak terkawal adalah punca kepada pelbagai jenis penyakit seperti sakit jantung, darah tinggi, kencing manis, kemurungan dan sebagainya.

Dengan datangnya Ramadan ini, seharusnya kadar stres kita akan menurun dan memberikan impak positif kepada kesihatan kita secara umumnya.

No comments:

Post a Comment