Wednesday 30 May 2018

CARA TERBAIK KAWAL KESIHATAN

Kebaikan berpuasa diakui pengamal perubatan dan pakar pemakanan. Kebanyakan pakar mencadangkan agar berpuasa kerana mendapati puasa menyumbang pelbagai manfaat kepada kesihatan. Terdapat pelbagai jenis puasa (bukan atas tujuan ibadat) diperkenalkan untuk kesihatan.

Kajian dan pemerhatian mendapati puasa bermanfaat kepada kesihatan. Antara lain puasa yang dilakukan setiap hari didapati membantu mengawal paras insulin dan merendahkan paras gula darah bagi penghidap diabetes.

Dengan berpuasa selama sebulan penghidap diabetes misalnya dikatakan berupaya merendahkan paras gula kepada julat normal atau sekurang-kurangnya menghampiri paras normal.

Berpuasa hanya sehari setiap bulan didapati berupaya menurunkan risiko arteri jantung tersumbat sebanyak 40 peratus. Ini berdasarkan sebuah kajian yang dijalankan penyelidik dari Intermountain Medical Center dan University of Utah diketuai oleh Benjamin D Home, PhD.

Hasil kajian dilaporkan dalam American Journal of Cardiology (2008). Penyelidik berkata bagaimana puasa membantu kesihatan jantung tidak diketahui dengan jelas. Mereka mengandaikan ia mempunyai kaitan dengan tidak mengambil makanan ketika berpuasa.

Manfaat puasa terhadap kesihatan dikecap jika seseorang menunaikan puasa dengan disiplin tertentu. Berpuasa bukan sahaja sekadar tidak makan dan minum pada siang hari, tetapi makan secara ala kadar pada malam hari serta mengurangkan makanan bergula dan karbohidrat terproses.

Selain baik dalam menyelaras paras gula dan mencegah arteri jantung daripada tersumbat berpuasa juga dipercayai berupaya mencegah penyakit Alzheimer, memperbaiki pembelajaran, memperbaiki memori, memecah lemak dan mengurangkan keradangan.

Amalan berpuasa dikatakan berupaya mencegah sel jantung dan otak dari kecederaan oleh radikal bebas. Berpuasa juga meningkatkan Hormon Tumbesaran Manusia (Human Growth Hormone). Hormon ini bertanggungjawab bagi pemuliharaan kesihatan, kecergasan dan melambatkan penuaan. Amalan berpuasa juga mempercepat proses pemulihan bagi mereka yang mengalami strok dan serangan jantung.

No comments:

Post a Comment