Saturday 26 May 2018

JIHAD MENCARI REZEKI

Suruhan mencari rezeki dan kebahagiaan hidup di dunia banyak dinyatakan dalam al-Quran dan Hadis. Fahaman yang menghalang orang Islam mengejar kemewahan dan kesenangan hidup sengaja dicipta oleh pihak yang tidak mahu Islam berkembang dan maju. 

Antara ayat al-Quran yang menyebut mengenai suruhan mencari rezeki ialah ayat 77 surah al-Qasas bermaksud:  “Dan tuntutlah dengan kurniaan yang telah dilimpahkan Allah kepadamu itu  kebahagian hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalan) dari dunia.”    

Walaupun kehidupan di akhirat lebih utama perlu direbut oleh setiap Muslim, tetapi tidak pula bermakna harus melupakan kehidupan di dunia. Apa yang dilakukan di dunia ini, termasuk dalam urusan mencari rezeki mendapat balasan di akhirat.

Berkerja bukan sekadar menyediakan bekalan hidup di dunia, bahkan diberi ganjaran sebagai ibadah untuk balasan kebaikan di akhirat. Islam tidak hanya mementingkan akhirat, kerana permulaan hidup adalah di dunia. Dunia adalah ladang bagi manusia bercucuk tanam (melakukan kebaikan) untuk bekalan di akhirat.

Berkerja disamakan dengan jihad ke jalan Allah. Kisahnya, sedang Rasulullah berbual-bual dengan para sahabat, seorang lelaki berbadan tegap dan kuat lalu di hadapan mereka. Maka salah sorang sahabat pun berkata: “Ya Rasulullah, alangkah baiknya jika orang itu berjuang untuk membela agama Allah.” 

Lalu Rasulullah pun menjawab dengan sabdanya bermaksud: “Jika lelaki itu keluar dari rumahnya untuk mencari nafkah untuk anak-anaknya yang masih kecil, itu juga fisabilillah namanya. Mencari rezeki untuk kedua orang tuanya yang sudah tua, juga dinamakan fisabilillah.  Mencari rezeki untuk dirinya supaya tidak meminta-minta juga dikira fisabilillah. Tetapi, jika dilakukan kerana niat bongkak dan menunjuk-nunjuk, ia dikira sebagai fisabililissyaitan (mengikut jalan syaitan).” – (Hadis riwayat Tabrani). 

Hadis tersebut jelas meletakkan sesuatu kerja yang dilakukan demi mencari rezeki halal bagi diri sendiri, ibu bapa dan keluarga merupakan satu jihad. Ini bermakna sepanjang melakukan kerja akan dikira sebagai ibadat selagi tidak melakukan perkara yang ditegah oleh agama.

Fahaman yang mengatakan sesiapa ingin mencari bekalan akhirat hanya dengan melakukan ibadat khusus seperti sembahyang dan berzikir, sebenarnya tidak memahami perintah Allah. Allah memerintahkan kita bertaburan di muka bumi merebut limpah kurnia-Nya.

Firman Allah bermaksud: “Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertaburanlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing) dan carilah dari apa yang kamu hajati daripada limpah kurnia Allah dan ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan) supaya kamu berjaya di dunia dan akhirat.” – (Surah al-Jumaah, ayat 10).

Jelas sekali, sebaik selepas sembahyang hendak kita bersegera kembali meneruskan urusan hidup. Pun begitu, maksud bersegera tidaklah bemakna selesai sahaja memberi salam terus bangun. Kita disarankan berwirid dan berdoa setiap selepas sembahyang.

No comments:

Post a Comment