Saturday 24 February 2018

RAKYAT MALAYSIA MISKIN

Soal kemiskinan menjadi topik di seluruh dunia. Bezanya takrif kemiskinan berbeza-beza di setiap negara. Di negara luar, golongan miskin hidup merempat. Tidak mendapat makanan cukup. Hidup di kawasan timbunan sampah, bawah jambatan dan tanah perkuburan yang dianggap milik awam.

Namun berbeza pula senario rakyat di negara ini kerana kebanyakan beranggapan diri mereka miskin sebaliknya berada dalam kategori jika di negara miskin mereka sudah dianggap golongan kaya atau setidak-tidaknya bukan dalam kategori miskin.

Golongan tersebut dikategorikan sebagai miskin ‘relatif’ iaitu seseorang merasakan mereka miskin berbanding orang lain walhal segala keperluan asas termasuk makanan mencukupi melalui pendapatan diperoleh.

Kebanyakan rakyat Malaysia tergolong dalam kategori tersebut berikutan tidak mampu untuk memenuhi kehendak atau keinginan mendapatkan sesuatu benda lebih daripada kemampuan walaupun setiap keperluan mereka sudah dipenuhi.

Orang miskin di Malaysia cukup makan. Bahkan jika diperhatikan kepada susuk tubuh sukar untuk mengenalpasti golongan miskin. Mereka bukan setakat cukup makan, tetapi lebih makan sehingga mengalami kegemukan.

Orang miskin di Malaysia juga bergaya menghidap rokok yang kos sehari lebih RM10. Makan dan minum di kedai kopi yang lebih mahal berbanding disediakan di rumah.

Mereka mula merasakan miskin walaupun mempunyai gaji RM3,000 yang sebenarnya jauh melebihi daripada garis kemiskinan mengikut pengiraan standard antarabangsa bagi mengkategorikan seseorang itu miskin.

Perkara itu adalah satu perasaan normal sebagai contoh apabila sebuah telefon pintar baharu dilancarkan pasti ramai yang menginginkannya sedangkan telefon sedia ada belum setahun digunakan malah dalam keadaan baik. Tetapi pada hakikatnya tiada kemampuan membelinya.

Rakyat perlu hidup mengikut kemampuan masing-masing. Kalau kail sejengkal, jangan lautan luas hendak diduga. Beli dan guna apa yang perlu sahaja.

Paras Garis Kemiskinan (PGK) yang dikeluarkan pada 2016 menyatakan bahawa bagi kawasan Semenanjung Malaysia kategori miskin adalah mereka yang mempunyai pendapatan bulanan RM970 ke bawah bagi kawasan bandar manakala RM880 bagi kawasan luar bandar.

Di Sabah dan Labuan pula adalah RM1,170 (bandar) dan RM1,220 (luar bandar) manakala di Sarawak pula RM1,070 (bandar) dan RM940 (luar bandar).

Bagi kadar kemiskinan pula, Malaysia berada pada 0.4 peratus pada 2016 yang merupakan terendah antara negara Asia Tenggara dengan jumlah pendapatan purata RM6,598 manakala purata perbelanjaan isi rumah bandar adalah RM4,402.

Pengiraan PGK akan mengikut perubahan sosioekonomi yang sentiasa dikemas kini selaras dengan perubahan harga serta perubahan pola kehidupan masyarakat di bandar atau luar bandar.

PGK bertujuan untuk panduan pelaporan kemiskinan peringkat nasional manakala untuk penyaluran bantuan (kumpulan sasar) ia bergantung kepada pendapatan dan keperluan setiap isi rumah.

Gambar sekadar hiasan

No comments:

Post a Comment