Stesen Kereta Api Wakaf Bharu pernah mendapat gelaran Stesen
Kereta Api Diraja Kelantan kerana ia digunakan oleh Sultan Kelantan untuk ke
Kuala Lumpur ketika Sultan Yahya Petra ibni Sultan Ibrahim Petra menjadi Yang
Di-Pertuan Agong keenam (21 September 1975 - 29 Mac 1979).
Keadaan sekeliling stesen dipersiapkan dengan segala
keperluan untuk membawa baginda dari Istana Kelantan melalui stesen Wakaf Bharu
hingga ke Kuala Lumpur.
Antara keperluan yang Keretaapi Tanah Melayu Berhad (KTMB)
bawa melalui Stesen Wakaf Bharu ialah makanan dan keperluan baginda ke Istana
Negara.
Malah KTMB bertanggungjawab membawa air keperluan baginda
dari perigi di Istana Kelantan ke Istana Negara. KTMB akan menghantar keperluan
tersebut sekurang-kurangnya dua minggu sekali.
Perkhidmatan kereta api diraja turut digunakan oleh Sultan
Ismail Petra ibni Sultan Yahya Petra untuk urusan rasmi di Kuala Lumpur.
Untuk memenuhi status stesen kereta api diraja, Stesen Wakaf
Bharu diubah suai bagi kegunaan Sultan Kelantan dan antara pengubahsuaian yang
dilakukan ialah mengubah bilik VVIP seperti menjadi bilik diraja dengan
menggunakan hiasan dalaman Istana Kelantan.
Kalau baginda Sultan ingin berangkat ke Kuala Lumpur dan
menggunakan Stesen Wakaf Bharu, maka pihak KTMB akan mengubah suai bilik VVIP
seperti meletakkan permaidani merah manakala segala hiasan bilik akan diuruskan
oleh pihak Istana.
Dengan kekerapan penggunaan kereta api sebagai pengangkutan
utama pada masa lepas oleh Sultan Kelantan, KTMB telah mengubah suai sebuah
gerabak khas yang digelar ‘SK 1’ dengan mengambil kira sentuhan dan hiasan
dalaman oleh Baginda Sultan Ismail Petra dan Raja Perempuan Kelantan, Tengku
Anis Tengku Abdul Hamid pada ketika itu.
Segala urusan hiasan dalaman diserahkan kepada Sultan
Kelantan untuk memberi sentuhan terhadap gerabak itu mengikut cita rasa
baginda, manakala ruang santapan ala istana disediakan di atas gerabak bagi
memastikan Baginda Sultan berada dalam keadaan selesa.
“Koc SK 1 ini adalah gerabak khas tetapi ia tetap melalui
perjalanan bersama-sama rakyat jelata yang lain cuma gerabak ini diubah suai
khas untuk baginda Sultan dan keluarga.
Disebabkan keistimewaan koc SK 1 ini maka KTMB telah membina
koc SK 2 bagi memberi penghormatan kepada sultan-sultan yang ada di negara ini
untuk menggunakan perkhidmatan kereta api untuk tujuan rasmi.
Antara kelebihan koc ini ialah ruang makan ala santapan
diraja seolah-olah berada di Balairung Seri walaupun berada di atas kereta api.
Sebenarnya, perkhidmatan kereta api mempunyai banyak
sejarahnya yang tersendiri apabila ia menjadi pengangkutan rasmi Yang
Di-Pertuan Agong yang pertama, Tuanku Abdul Rahman ibni Tuanku Muhammad untuk
ke Istana Negara dan kereta api juga adalah perkhidmatan yang membawa pulang
baginda dari Istana negara.
Stesen Wakaf Bharu yang ada sekarang adalah stesen baru yang
mula digunakan pada Febuari 2009, menggantikan stesen lama yang kedudukannya
setentang dengan stesen lama yang mula beroperasi sejak 1965.
No comments:
Post a Comment