Selepas Perang Dunia II, seorang jurutera
di Raytheon Corp., Percy LeBaron Spencer bereksperimen dengan magnetron, tiub
vakum yang menghasilkan radiasi gelombang mikro yang tinggi frekuensi dan kuasa
yang digunakan ketika perang.
Dia menyedari ketika beruji kaji dengan
tiub tersebut, coklat di dalam poketnya mencair. Tertarik, Spencer kemudian
mencuba dengan isirung jagung. Apabila ia meletup dan menjadi bertih, dia
menyedari proses tindak balas ini punyai potensi lain.
Pada 1947, Raythorn Corp. yang berpangkalan
di Amerika Syarikat membina ketuhar gelombang mikro yang pertama, bernama
“Radarange.” Bagaimanapun dengan berat 340 kilogram, setinggi 1.67 meter dan
berharga $5,000, ia tak mendapat maklum balas menggalakkan.
Dengan harga dan saiz itu, ia hanya dibeli
oleh restoran-restoran, yang selalunya akan menyimpan hidangan yang sudah sedia
dimasak dalam peti sejuk dan hanya panaskannya apabila ada pesanan, sekali
gus dapat mengurangkan pembaziran makanan.
Selepas proses panjang penyelidikan,
pembangunan dan penambah baik, Raytheon Corp. mula melesenkan teknologi
gelombang mikronya. Ketuhar gelombang mikro pertama yang direka khusus untuk
kegunaan rumah dihasilkan oleh Tappan dengan model Tappan RL-1 (gambar), mula
dijual pada harga $1,295 (hari ini lebih kurang $11,000). Ia mula dipasarkan
pada 25 Oktober 1955.
Bagaimanapun, kerana saiznya yang masih
dianggap besar dan harga yang dianggap masih mahal ketika itu, sedikit sahaja
bilangan unit yang terjual. Sedekad kemudian, harganya turun kepada $500 dan ia
mula menjadi perkakas keperluan wajib ada di setiap dapur rakyat Amerika
Syarikat.
Hari ini, hampir 90 peratus rakyat Amerika Syarikat
mempunyai ketuhar gelombang mikro, yang secara puratanya digunakan sekali atau dua
kali setiap hari. Permintaan pasarannya di seluruh dunia terus meningkat setiap
masa.
Sumber: The Navigator, Davison
No comments:
Post a Comment