Monday, 23 January 2023

PUNCA BERLAKU KEMISKINAN DALAM MASYARKAT

 
Masalah sikap dan cara hidup antara punca golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) gagal keluar dari kepompong kemiskinan. Tidak dinafikan faktor ekonomi persekitran juga turut mempengaruhi.
 
Indikator kemiskinan merangkumi faktor ekonomi; masalah sikap; pengetahuan dan kemahiran; hubungan dengan masyarakat dan persekitaran.
 
Sebenarnya terdapat projek penjanaan ekonomi oleh beberapa pihak untuk membantu golongan ini tetapi terbantut sekerat jalan kerana masalah tertentu termasuk komitmen kurang daripada B40 menyebabkan mereka kekal dalam keadaan itu.
 
Jika berkunjung ke rumah golongan miskin, ada masih belum bangun tidur walaupun jam sudah menunjukkan pukul 11 pagi dengan alasan tidak ada kerja. Biarpun bukan semua berkelakuan begitu, tetapi itu satu keadaan yan sering ditemui.
 
Malah kalau yang bekerja sendiri, mereka terlebih dahulu berada di kedai kopi sehingga berjam-jama sebelum memulakan pekerjaan.
 
Yang bekerja sebagai buruh kasar, pukul 11 pagi baharu mula bekerja. Masuk waktu tengah hari, cuaca sudah panas dan mula hendak berehat dan makan. Sambung sebelah petang pukul tiga dan pukul empat sudah mahu pulang.
 
Sebelum balik ke rumah, sekali lagi singgah di kedai kopi atau warung. Sempat lagi duduk sejam dua sebelum masuk Maghrib.
 
Kononnya hendak rehat selepas penat kerja. Itu tidak lagi kira duduk kedai kopi pada waktu malam sehingga lewat malam.  
 
Kuantiti dan kualiti kerja tidak seberapa. Sukar untuk majikan memberi upah harian yang lebih.
 
Malah ada yang tidak datang kerja jika dapat gaji. Ada yang dibayar upah setiap minggu pada hari Khamis atau dua minggu sekali.
 
Mereka sepatutnya mempunyai hala tuju dalam hidup. Tingkatkan kualiti dan kuantiti kerja. Kurangkan masa berada di kedai kopi berbual kosong. Balik kerja boleh usahakan tanah kosong di kawasan rumah. Elok jika dapat cari kerja tambahan lain seperti berniaga kecil-kecilan.
 
Nasib tidak akan berubah jika tidak berusaha untuk mengubahnya.

No comments:

Post a Comment