Allah SWT memerintahkan para Rasul agar hanya
memakan makanan yang halal dan baik, dan kemudian baharu ditegaskan perintah
melakukan amalan soleh.
Firman Allah SWT bermaksud: “Wahai
Rasul-rasul, makanlah dari benda-benda yang baik lagi halal dan kerjakanlah
amal-amal soleh; sesungguhnya Aku Maha Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.”
(Surah al-Muminum, ayat 51)
Ini membuktikan bahawa memilih makanan yang
halal dan baik adalah amat penting sehingga ia didahului penegasannya.
Justeru, soal memilih makanan yang halal
dan baik adalah satu perkara besar yang perlu diberi perhatian bersungguh-sungguh.
Makanan yang tidak diketahui status halal
dan haramnya jatuh kepada hukum syubhah yang perlu dijauhi.
Sabda Rasulullah SAW dalam hadisnya
bermaksud: “Sesungguhnya halal itu jelas dan haram itu jelas dan perkara
yang berada antara halal dan haram itu adalah perkara syubhah yang tidak ramai
manusia mengetahuinya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Hukum asal pada semua makanan adalah harus,
melainkan ada dalil yang jelas tentang keharamannya. Para ulama fikah membuat
satu kaedah yang berbunyi: “Asal hukum sesuatu perkara adalah harus, selagi
tiada nas (dalil) yang mengharamkannya.
Kaedah ini merupakan satu istinbat (kesimpulan)
berdasarkan kepada beberapa dalil.
Firman Allah SWT bermaksud: Wahai
orang-orang yang beriman! Janganlah kamu haramkan benda-benda yang baik-baik
yang telah dihalalkan oleh Allah bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas
(pada apa yang telah ditetapkan halalnya itu); kerana sesungguhnya Allah tidak
suka kepada orang-orang yang melampaui batas.” (Surah al-Maidah, ayat 87)
Firman Allah SWT bermaksud: “Dan makanlah
dari rezeki yang telah diberikan Allah kepada kamu, iaitu yang halal lagi baik,
dan bertaqwalah kepada Allah yang kepadaNya sahaja kamu beriman.” (Surah
al-Maidah, ayat 88)
Mengambil dan memakan harta yang haram
sangat besar bahayanya. Di akhirat nanti dihukum dengan azab neraka jika tidak
bertaubat.
Harta haram meliputi haram dari segi zatnya
seperti haram daging babi, bangkai dan sebagainya; juga haram dari segi
sumbernya seperti duit judi, rasuah, harta riba, mencuri, merompak, menipu dan
sebagainya.
Firman Allah SWT: “Dan janganlah kamu makan
(atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang
salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada
hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta
manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).” (Surah al-Baqarah,
ayat 188)
No comments:
Post a Comment