Sunday, 24 July 2022

KESETIAAN KEPADA NEGARA TANPA BEZAKAN FAHAMAN POLITIK

Malaysia milik semua rakyat yang menumpahkan kesetiaan kepada negara berdasarkan Prinsip Rukun Negara. Berlainan bangsa dan asal keturunan bukan alasan berlainan cita-cita. Tidur tidak sebantal tetapi mimpi tetap sama. Impian seluruh rakyat Malaysia ingin melihat negara tercinta aman, makmur dan maju. 

Kesetiaan kepada raja dan negara terbukti menjadi asas membantu membina empayar Kesultanan Melayu Melaka, yang memerintah hingga menjadikan kerajaan itu berkembang maju dan dipandang tinggi di seantero dunia.

Kesultanan itu yang bermula pada awal abad ke-15 dengan Parameswara, pengasas dan pemerintah pertama Melaka yang kemudian memeluk agama Islam dan menggunakan gelaran Sultan Iskandar Shah pada 1414, mentadbir negeri itu hingga menjadi pelabuhan dan pusat perdagangan antarabangsa.

Kegemilangan empayar Melaka yang juga kerajaan berdaulat pertama di Tanah Melayu, terbina hasil kerjasama erat antara pemerintah dengan rakyat yang hidup dalam penyatuan.

Seharusnya semangat kecintaan terhadap negara menjadi paksi perjuangan dan kehidupan rakyat bernegara. Rakyat berbilangan bangsa tetapi negara tetap satu. Tidak ada bangsa yang menjadi tuan di Malaysia. Semua bangsa sama taraf dan hak yang terjamin dalam Perlembagaan.  

Kita akui perjalanan selepas kemerdekaan banyak liku dan durinya. Peranan dan tugas mengisi kemerdekaan lebih sukar daripada berusaha memperoleh kemerdekaan itu sendiri. 

Manusia dijadikan berbangsa-bangsa agar boleh berkerjasama dan saling mengenali. Hakikatnya apa yang ada di negara kita adalah antara tanda-tanda kebesaran Allah. Justeru, kita perlu bersyukur dapat hidup dalam satu masyarakat berbilang kaum.

Firman Allah bermaksud: “Hai manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan, dan Kami jadikan kamu beberapa bangsa dan suku-suku bangsa, supaya kamu mengenal satu sama lain. Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu dalam pandangan Allah ialah yang lebih bertakwa (memelihara diri dari kejahatan). Sesungguhnya Allah itu Maha Tahu dan Mengerti.” (Surah al-Hujurat, ayat 13).

Mengambil kira kedudukan Malaysia sebagai negara masyarakat majmuk, kesetiaan kepada negara perlu diperkasakan tidak dirobek akibat perbezaan agama, kaum serta fahaman politik.

Rukun Negara meletakkan unsur Kesetiaan kepada Raja dan Negara untuk dipertahankan sebab ia panduan hidup rakyat untuk mendukung Perlembagaan negara.

Negara kekal aman dan utuh hingga kini kerana rakyat Malaysia memikirkan kepentingan negara bukan kepentingan kaum atau politik.

No comments:

Post a Comment