Monday, 23 August 2021

PULIHKAN TRADISI KEILMUAN ISLAM

Memulihkan tradisi keilmuan dan bersatu memperjuangkan kepentingan seluruh umat Islam merupakan senjata paling ampuh menaikkan kembali maruah Islam.

Umat Islam pernah mencapai tamadun tertinggi pada zaman pemerintahan Kerajaan Abbasiyah (750 - 1258) yang berpusat di Baghdad.  

Kecemerlangan tradisi keilmuan Islam telah melahirkan ahli ilmuan yang menyumbangkan jasa kepada seluruh dunia Islam dan terus dikagumi hingga sekarang.

Nama seperti al-Kindi, al-Farabi, Ibn Sina, al-Khawarizmi, al-Razi, al-Fatah, Ibn Rusyd dan al-Biruni terkenal dengan pertemuan dan penciptaan baharu.

Hasil usaha ilmuan Islam menjadi asas kepada perkembangan ilmu di Barat yang terus cemerlang sehingga sekarang. 

Kedudukan umat Islam jauh ketinggalan berbanding agama lain. Hal ini berpunca kurang bilangan ilmuan Islam dan juga dari segi kekuatan ekonomi. 

Kita perlu merebut peluang dijanjkan Allah SWT dalam meningkatkan kedudukan dengan menggunakan ilmu. 

Firman Allah SWT dalam surah al-Mujadalah ayat 11 bermaksud: “Allah meninggikan darjat orang-orang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat.”

Kepentingan mencipta kecemerlangan pelbagai bidang merupakan satu jihad atau dilakukan bersungguh-sungguh kerana Allah SWT. Tanpa semangat jihad, umat Islam tidak dapat menandingi keupayaan pihak lain. 

Amat malang sekarang ini umat Islam lebih banyak bergaduh sesama sendiri berbanding cuba meningkat ilmu.  

Manusia tanpa kekuatan ilmu lebih mengharapkan kepada kekuatan 'keras kepala' untuk menegakkan sesuatu perkara. Mereka terus berpegang kepada sesuatu perkara walaupun telah lapuk dan tidak lagi releven dengan keperluan semasa.

Sebab itu, kita perlu melahirkan lebih banyak bijak pandai Islam dalam pelbagai bidang. Kewujudan institusi pengajian tinggi di negara kita perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk melahirkan ilmuan Islam.

Gambar: Universiti Teknologi MARA Cawangan Kelantan, Bukit Ilmu, Machang. Gambar hiasan.

No comments:

Post a Comment