Wednesday, 7 February 2018

TAWAR MENAWAR SYARAT SAH JUAL BELI

Islam menganjurkan agar setiap urusniaga dilakukan dengan jujur, tawar menawar, nyata, memberi manfaat kedua-dua pihak, tidak mendatangkan kerugian dan kerelaan. Hal ini bagi menjamin kehidupan sejahtera dan diberkati Allah. 

Sabda Rasulullah bermaksud: “Jual beli dilakukan dengan tawar menawar, jika kedua-dua pihak jujur dan nyata, maka mereka diberkati, tetapi jika kedua-duanya dusta dan merahsiakan, maka keberkatannya akan lenyap.” - (Hadis riwayat Abu Daud).

Perkara pokok dalam jual beli ialah tawar menawar. Istilah tawar menawar bukan sekadar merujuk kepada harga yang dibincangkan, tetapi merangkumi semua aspek berkaitan dengan urusniaga itu.   

Di pihak penjual yang menawarkan barangan atau perkhidmatan hendaklah jujur dan nyata. Sekiranya ia diiklankan melalui media, papan iklan atau risalah, semua maklumat yang terkandung di dalamnya hendaklah sepertimana sebenarnya. Segala maklumat diberi secara terperinci dan tidak ada gimik yang berbentuk pernipuan.

Di pihak pembeli yang memerlukan barangan atau perkhidmatan akan menemui penjual untuk mengetahui lanjut mengenainya sebelum mengambil keputusan membeli atau tidak. Pembeli berhak mendapat maklumat yang ingin diketahui.

Oleh itu, penjual mesti menjelaskan apa-apa yang ingin diketahui oleh pembeli.  Segala maklumat perlu didedahkan, walaupun ia mungkin menyebabkan pembeli tidak membelinya. 

Pun begitu, maklumat itu tidak termasuk yang tidak berkaitan secara langsung dengan barang. Penjual tidak perlu menjelaskan tentang resipi dan pengurusan.  

Perbincangan mengenai harga adalah sebahagian daripada tawar menawar. Sekiranya harga tetap, konsep tawar menawar sebenarnya masih wujud, yakni pembeli membuat pertimbangan sendiri tentang harga yang ditawarkan itu. 

Segala urusan jual beli hendaklah dibuat dengan jujur dan tepat, tanpa sebarang tipu daya. Sabda Rasulullah bermaksud: “Sesiapa berunding untuk jual beli hendaklah dibuat tanpa tipu daya.” - (Hadis riwayat Bukhari).  

Setelah penjual dan pembeli bersetuju dengan maklumat tawar menawar, maka fasa seterusnya ialah akad jual beli. Semasa akad hendaklah dijelaskan tentang harga barang, cara pembayaran dan syarat-syarat lain yang telah dipersetujui. 

Semua proses ini adalah perlu bagi mewujudkan proses jual beli yang adil dan memberi kebaikan kepada penjual dan pembeli. Ia secara langsung dapat menghindarkan sebarang pertelagahan dan rasa tidak puas hati selepas jual beli berlaku. 

Urusan jual beli menjadi sebahagian muamalah terpenting dalam kehidupan seharian setiap Muslim. Oleh itu, Islam amat mengambil berat soal berkaitan jual beli yang melibatkan kaedah dan hukum yang ketat.  

No comments:

Post a Comment