Monday 18 September 2023

TIDAK PERLU TAKUT KEPADA DAP

 
Orang Melayu ditakut-takut dengan DAP. DAP dikaitkan dengan komunis yang pernah menyebabkan banyak nyawa terkorban dengan melakukan perang gorila semasa zaman darurat dahulu.
 
Namun, biarpun sentimen marahkan DAP dicanang hebat, DAP sentiasa ada kawan di kalangan parti Melayu. Pas yang menganut fahaman memperjuangkan Islam, pernah bersama DAP. Parti Bersatu pun pernah bersama DAP. Malah dengan pertolongan DAP, Bersatu dapat menumbangkan UMNO pada PRU-14. Sekarang ini pula UMNO bersama DAP. PKR pula memang sejak dari awal penubuhan lagi sudah bersama DAP.
 
DAP boleh dianggap sebagai “hantu” kepada parti Melayu. Hantu yang amat ditakuti, tetapi ada orang yang berbaik dan meminta tolong dengan hantu.
 
Sebenarnya tidak perlulah orang Melayu takutkan DAP. Yang mengalahkan dan menyerang parti Melayu dan orang Melayu bukannya DAP, tetapi parti Melayu sendiri.
 
DAP tidak bertanding di kawasan pengundi Melayu. Pihak yang bertanding di kawasan Melayu adalah sesama Melayu.
 
Pemimpin DAP tidak kafirkan orang Melayu. Pihak yang kafirkan Melayu adalah orang Melayu sendiri. DAP tidak memandai mengeluarkan fatwa berkaitan Islam, tetapi yang buat fatwa dan hukum adalah orang Melayu.
 
Jadi, mengapa perlu takut dan bermusuh dengan DAP? DAP sudah dijadikan kambing hitam dalam perseterusan sesama Melayu. Apa-apa sahaja dianggap salah DAP.
 
Pemimpin Melayu menghidupkan suasana “benci” kepada DAP, tetapi pemimpin Melayu selalu sahaja dilihat mesra dengan pemimpin DAP. Pihak yang bermati-mati marahkan DAP adalah ahli peringkat akar umbi.
 
Ahli akar umbi bersungguh-sungguh marahkan DAP, tetapi yang dibuat gaduh bukan dengan ahli DAP, sebaliknya dengan parti lain, yakni parti yang berkawan dengan DAP. Dengan kata lain sesama ahli parti Melayu bergaduh kerana DAP.
 
Pelik sungguh politik di Malaysia. Marahkan pihak lain, tetapi bergaduh dengan pihak lain.
 
Cukup-cukuplah Melayu bergaduh sesama sendiri kerana DAP.
 
 

No comments:

Post a Comment