Friday 28 May 2021

CONTOHI NENEK INI....

Sekadar nak berkongsi cerita. Ada seorang wanita berumur ni, datang ke klinik. Katanya tak sakit, tapi nak jumpa doktor. Sebenarnya ramai je orang tak sakit, tapi datang klinik.

"Aku datang ni, nak tanya pasal ni. Tak pandailah aku. Cuba kau tengokkan ni." kata dia sambil seluk beg tangan dia yang comel je saiznya. Beg tu buat daripada kain.

"Tanya apa tu, puan? "

"Hish, kau ni! Panggil aku nenek je. Tak payahlah berpuan-puan." tegasnya lalu keluarkan telefon bimbit.

"OK, nak tanya apa tu, nek?"

Dia tercari-cari sesuatu di skrin telefonnya.

"Ni ha! Aku dapat ni ha! Dah tu aku nak kena buat apa ni? Tak berapa paham sangat!" katanya, menyuakan telefon dia pada saya.

Saya pun jelinglah pada telefon tu. Skrin dia dah ada retak. Tak berapa nampak apa yang dia nak tunjuk tu. Berkerut dahi nak fokus.

"Saya pegang eh, nek!"

"Nah! Peganglah. Kau tengok sikit. Dia suruh apa ni?"

Saya pun ambil telefon tu dan lihat apa yang tertera di skrinnya. Laman MySejahtera rupanya dia nak tunjuk. Bahagian temujanji vaksin. Saya baca maklumat yang ada dekat situ.

"Nek! Ni dah ada dapat tarikh untuk ambil vaksin ni! 30 Mei, pukul 4 petang. Dekat PERSADA," kata aku.

"Itu aku tahulah! Yang bawah tu yang aku tak tahu. Yang ni ha!" katanya sambil tunjuk pautan berwarna biru."

Memang gaya nenek-nenek gangster nenek ni. Nak tergelak saya dibuatnya.

"Oh, yang tu ke, nek? Yang tu, untuk nek sahkan nek boleh datang tak tarikh dan tempat nak vaksin tu. Tekan je yang biru ni, kalau boleh datang, jawablah 'ya'."

"Ha, kau buatkanlah."

"Nek boleh datang tak? Ada orang boleh hantar?"

"Ha, itulah masalah dia! Aku ni seorang je nak pergi ni. Tok kau tu tak nak vaksin. Penat dah aku suruh dia daftar. Dia sibuk dengar orang cakap tu, orang cakap ni. Suka hati dialah."

"Nenek tak daftarkan Tok sekali?"

"Aku mana reti. Aku pun hari tu suruh doktor dekat KK tu daftarkan. Dia suruh aku periksa benda ni(MySejahtera) hari-hari. Kata dia nanti keluar tarikh. Semalam aku tengok, dia keluar dah tarikh. Penat tunggu."

"Hari-hari nenek periksa ke?"

"Ya lah! Dari bulan 3 hari tu aku hari-hari tengok benda tu. Takut terlepas pula nanti. Tak dapat pula vaksin karang. Rugilah!"

"Habis, Tok tak nak pergi teman nek pergi ambil vaksin ni ke nanti? Anak-anak dekat mana? Jauh eh?"

"Ah! Daftar pun dia tak nak, jangan harap dia nak pergi. Anak-anak pun dua kali lima dengan Tok kau tu. Ni kalau dia orang tahu aku dah dapat tarikh ni, silap-silap dia orang tak bagi aku pergi ni. Baik aku diam-diam je pergi."

Lain macam punya nekad nenek ni. Biasa anak-anak yang paksa pergi, tapi ibubapa mereka tak nak. Nenek ni pula selamba je berdegil nak pergi ambil walaupun suami dan anak-anak tak nak ambil vaksin. Tapi, tengok gaya nenek, boleh tahu dia jenis keras hati.

"Habis tu macam mana nek nak pergi nanti ni? Ni nek datang klinik naik apa?"

"Aku datang jalan kaki. Rumah aku depan tu je. Nak ambil vaksin nanti, pandai-pandailah aku. Eh kau dah jawabkan belum benda tu? Aku jadi pergi ni. Lekas jawab dekat situ," katanya sambil tunjuk skrin telefonnya yang masih ada pada saya.

Saya pun klik apa yang patut, kemudian pulangkan telefonnya sambil kata "Nanti, kalau nek tak dapat cari orang hantarkan nak pergi ambil vaksin, nek datang sini. Kita orang tolong nek."

Dia angguk, dan berborak-borak sikit, kemudian dia minta diri. Sempat dialah kongsi sikit cerita pada saya. Dia kata bila dah tua ni, dah tak larat bertekak dengan keluarga. Dia buat je apa dia rasa betul. Katanya, orang lain tak nak, itu dia orang punya pasal.

Saya dah ambil nombor telefon nenek ni siap-siap. Nanti tarikh vaksinasi dia tu, saya akan telefon dia untuk ingatkan dia. Kalau perlu saya akan tempah Grab untuk dia ke PPV. Saya akan pastikan tercapai hajat dia nak ambil vaksin.

Semoga dipermudahkan urusan nenek ni nanti.

"Ni kena bayar, tak?" tanya nenek tu sebelum dia keluar bilik konsuktasi. Aduh! Bila nenek-nenek dah tanya macam ni, segan pula nak minta bayaran konsultasi. Terpaksalah saya bayarkan (sebab bukan saya bos).

Kalau ada mana-mana warga emas yang kalian kenal, tanya-tanyalah pada mereka tentang temujanji vaksinasi. Kadang-kadang mereka nak ambil vaksin, tapi tak ada yang beri sokongan. Kita ambil lah tanggungjawab untuk bantu.

Semoga bermanfaat!

Cucu Sambilan

No comments:

Post a Comment