Saturday 21 July 2018

Pengalaman tangkap ikan sepila berani buat laga

Masa kecil dahulu biasa tangkap ikan sepilai. Tangkap yang juga disebut igat ikan sepilai atau tanggok ikan sepila menjadi kegemaran bermusim iaitu pada musim hujan sebelum banjir besar melanda dan selepas banjir. 

Pada masa dahulu kegemaran atau aktiviti kanak-kanak mengikut musim yang menyediakan kemudahan semulajadi.

Ikan sepilai hidup di baruh atau paya, selain bendang atau sawah padi. Ikan sepilai sejenis ikan laga. Jadi, bila tangkap ikan sepilai adalah untuk dijadikan jaguh laga. 

Sebab itu semasa igat ikan sepilai telah diperhatikan ciri-ciri keberanian ikan sepilai itu. Kalau yang diketahui baka tidak berlaga atau tidak bekeng, terus tidak akan diambil.

Cara tangkap ikan sepilai ialah dengan menyauk menggunakan tangan. Pencarian ikan sepilai ialah dengan melihat kawasan air tenang dan cetek. 

Ikan sepilai akan membuat 'rumah' daripada buih yang dikeluarkan dari mulutnya. Buih itu digunakan untuk meletakkan telur ikan sepilai. 

Sebab itu buih yang dibuat mesti di tempat air tenang untuk mengelak buih hanyut. Buih juga dibuat ke tempat ada pokok rumput atau ranting kayu kecil untuk melekatkan buih. Bawah daun juga sering terdapat buih ikan sepilai.

Buih akan dijaga oleh ikan sepilai jantan. Ikan sepilai jantan sahaja digunakan untuk tujuan pelagaan. Ikan sepilai yang menjaga buih tidak akan melarikan diri biarpun kita mendekati buih itu. Biasanya ikan sepilai akan kekal berada di bawah buih itu atau di sekitarnya.

Jadi, dengan menggunakan dua belah tangan yang digerakkan secara perlahan-lahan di dalam air menghampiri bawah buih, kita akan datang menangkap ikan sepilai. Ikan sepilai yang ditangkap akan terus dimasukkan di dalam botol cerah yang telah dibawa. 

Ikan sepilai yang berada dalam botol akan 'dinilai' sama ada jenis yang 'melawan' atau tidak. Kalau dilihat tiada ciri-ciri melawan dan bekeng, ikan sepilai itu akan dilepaskan.

Ikan sepilai yang disimpan akan diasuh untuk dijadikan jaguh laga. Selain diletakkan berhampiran dengan ikan lain di dalam botol berasingan, satu lagi cara ialah ikan tersebut diletakkan di tempat gelap selama beberapa hari sebelum dilagakan. 

No comments:

Post a Comment