Friday 16 February 2018

LIMAU TAMBUN IDENTITI PERAK

Nama pekan Tambun berhampiran bandar raya Ipoh begitu senonim dengan limau bali. Sebab itu limau bali yang ditanam di Tambun lebih dikenali limau tambun dengan dibuang perkataan bali. Biarpun tanpa perkataan bali orang ramai tahu bahawa limau tambun itu adalah limau bali. 

Kawasan Tambun menjadi pengeluar limau bali utama negara sejak berpuluh tahun lalu. Keistimewaan limau tambun ialah rasanya yang manis bersari, isi elok dan buah besar, berbanding limau bali di kawasan lain. 

Disebabkan limau tambun sudah terkenal di kalangan rakyat kita, maka ia sering menjadi buah tangan sesiapa yang berkunjung Tambun atau Ipoh untuk dibawa balik. Rasanya tidak lengkap jika sampai ke Tambun atau Ipoh, tetapi tidak membeli limau tambun untuk dibawa pulang kepada keluarga.

Maka, tidak menghairankan jika limau tambun turut menjadi bahan tarikan pelancong ke Ipoh. Identiti limau tambun dipaparkan sebagai sesuatu yang istimewa di Ipoh khususnya dan Perak amnya.

Mereka yang ingin membeli limau tambun boleh mendapatnya di kebanyakan kedai buah-buahan di sekitar Tambun dan Ipoh. Namun, tempat yang khas yang disediakan paling terkenal ialah di Jalan Ampang-Tambun. Di situ terdapat berpuluh-puluh gerai menjual limau tambun yang terbaik.

Buah limau tambun ada dua jenis isi yang berwarna putih rasanya manis dan isi berwarna merah jambu rasanya masam manis.

Pokok limau berbuah tidak mengikut musim. Limau yang telah masak atau dipetik boleh disimpan sekurang-kurangnya dua minggu.

Pokok yang telah berusia boleh menghasilkan sekitar 100 biji limau setiap kali berbuah manakala pokok yang baharu ditanam menghasilkan antara 20 hingga 30 biji.

1 comment:

  1. Assalam. En ada kenal mana-mana petani yang tanam limau bali tak? Saya dari syarikat racun berminat untuk melakukan kajian di ladang limau bali. Terima kasih

    ReplyDelete