Tuesday 30 January 2018

HARAM TERNAK HAIWAN DIBIAR LEPAS MERAYAU

  
Sikap penternak membiarkan ternakan seperti lembu, kerbau dan kambing berkeliaran membawa bahaya kepada pemandu.

Banyak kes kemalangan berlaku melibatan binatang ternakan sehingga menyebabkan pemandu dan penumpang kenderaan mendapat cedera dan ada yang meninggal dunia.

Kerugian bukan sahaja dialami pemandu kenderaan, bahkan haiwan ternakan juga mati akibat pelanggaran itu.

Binatang ternakan sepatutnya diternak di tempat khusus atau ditambat bagi mengelak haiwan itu mendatangkan bahaya kepada pihak lain.

Mengikut hukum fikah, cara menternak haiwan secara dibiarkan bebas merayau menyebabkan gangguan kepada orang ramai dan mendatangkan bahaya adalah haram. Maka hasil daging atau jualan ternakan itu juga adalah haram.

Rezeki daripada hasil haram akan menumbuhkan tubuh, darah dan daging yang akan menjadi bahan bakar api neraka. Setiap suapan makanan yang tidak halal diisi ke perut akan memberi kesan kepada nilai dan kualiti hidup seseorang.

Ajaran Islam amat mementingkan agar setiap penganutnya hanya memakan atau menggunakan sumber yang diperoleh secara halal.

Firman Allah bermaksud: “Oleh itu makanlah (wahai orang-orang yang beriman) semua yang telah dikurniakan Allah kepada kamu daripada benda yang halal lagi baik, dan bersyukurlah akan nikmat Allah, jika kamu hanya menyembah-Nya semata-mata.” (Surah al-Baqarah, ayat 172).

No comments:

Post a Comment