Sunday 4 February 2018

TIDAK BEBAS LAKU AMALAN BURUK

Dalam al-Quran jelas menyatakan bahawa antara dosa yang tidak seharusnya dilakukan oleh seseorang Muslim tanpa mengira jantina dan umur adalah melakukan hubungan seks atau apa sahaja kelakuan ke arah itu tanpa nikah yang sah di sisi syarak.

Antaranya adalah dalam Surah al-Mukminun: 5-7 bermaksud: “Dan orang yang menjaga kemaluannya, kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau hamba mereka, maka sesungguhnya mereka dalam hal ini tiada tercela. Sesiapa yang mencari selain itu, maka mereka itulah orang yang melampaui batas.”

Justeru, atas alasan apakah bila ada seseorang menyatakan bahawa amalan hubungan seks sesama jantina atau Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) adalah sesuatu yang beretika dan bermoral pada pandangan Allah SWT.

Kisah Nabi Lut dalam al-Quran cukup jelas menyatakan larangan sedemikian dan sepatutnya tidak dibahaskan lagi.

Namun, pemikiran liberal semakin merosakkan pemikiran manusia. Bukan sahaja umat Islam menjadi mangsa, bahkan mana-mana golongan pun terdedah kepada barah pemikiran itu.

Apakah yang ingin diperjuangkan untuk mengatakan LGBT itu beretika dan bermoral bila mana ia dilakukan dengan kerelaan sendiri?

Kalau alasan kerelaan sendiri dijadikan asas untuk menghalalkan perbuatan LGBT, bermakna semua perbuatan yang berkaitan diri sendiri dan kelompok tertentu mesti dibenarkan.

Penagih dadah melakukan perbuatan itu dengan kerelaan sendiri. Bahkan mereka amat memerlukan dadah untuk meneruskan kelangsungan hidup dalam dunia mereka.

Jadi, adakah kita perlu membenarkan penagihan dadah dengan alasan itu kerelaan sendiri?

Kebebasan hak bukan bermakna boleh melakukan apa sahaja yang ingin dilakukan. Norma kehidupan dan kepentingan masyarakat perlu difikirkan sama.

Jika masih ingin meneruskan sesuatu perbuatan yang buruk yang dianggap baik, janganlah amalan ini ingin didedahkan kepada umum. Tidak perlu mendapat pengiktirafan mahupun kebebasan.

Dan, pihak berkuasa tanpa mengira di negara mana tidak sepatutnya membenarkan rakyat melakukan perbuatan yang melampaui batasan kemanusiaan.

LGBT amalan terkeji melibatkan hubungan sesama manusia. Berfikirlah dalam konteks kemanusiaan dan bukannya menjadi sifat haiwan yang hanya berpaksikan kepada hawa nafsu.

No comments:

Post a Comment