Sunday 4 February 2018

HARGA NIKMAT PERSAUDARAN

Allah SWT menjelaskan mengenai kedatangan nikmat Islam adalah bertujuan untuk mewujudkan kesatuan di antara umat yang mengakui ketauhidan Allah SWT dan kerasulan Nabi Muhammad SAW. Nikmat persaudaraan antara amat penting dalam Islam.

Allah SWT menyebut dalam al-Quran yang bermaksud: "Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai, dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu)". (Surah Ali-Imran, ayat 103)

Pada zaman jahiliah, masyarakat hidup berkabilah dan hanya percaya kepada kabilah serta kelompok mereka sahaja tanpa perasaan penerimaan pada kaum lain.

Kehadiran agama Islam telah mengikat perhubungan masyarakat ke arah sebuah penyatuan.

Namun, perbezaan atau perselisihan tetap berlaku. Pandangan yang berbeza atau cara pemahaman terhadap sesuatu hal tetap tidak akan sama sungguhpun ada persamaan dari segi beragama.

Perkara itu disebut Allah SWT dalam firman yang bermaksud: "Dan kalaulah Tuhanmu (wahai Muhammad SAW) menghendaki, tentulah Dia menjadikan umat manusia semuanya menurut agama yang satu. (Tetapi Dia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan." (Surah Hud, ayat 118)

Daripada perpecahan itu hanya satu golongan yang masuk syurga dan mereka adalah yang mengikuti Rasulullah SAW serta sahabat. Sedang golongan yang masuk neraka adalah yang menyimpang dari jalan itu.

Justeru, umat Nabi Muhammad akan berdepan pelbagai polemik, perbezaan, perselisihan pendapat dan pandangan. Pada saat itu, penting bagi seorang mukmin memahami dan menguasai adab dengan mengikuti ajaran Nabi Muhammad SAW, ilmu yang disusun ulama serta sahabat.

Hakikatnya, perselisihan yang berlaku sehingga dirakam dan disebut dalam al-Quran adalah kerana Allah SWT menciptakan manusia dengan pelbagai ujian untuk melihat siapakah yang layak menduduki syurga Allah SWT.

Mukmin yang mampu bertahan, tidak mengikut hawa nafsu amarah atau tidak meruntuhkan silaturahim pastinya layak menerima rahmat serta menghuni syurga Allah SWT.

Berdepan pelbagai perselisihan sesama mukmin, ada adab yang perlu dituruti supaya setiap perselisihan tidak membawa kepada bencana, perpecahan atau pembunuhan.

Adab berdepan perbezaan pendapat mesti terlebih dahulu meletakkan keutamaan kehendak Allah dan Rasul-Nya.

Perbezaan itu tidak salah jika tidak membawa kepada kemusnahan sehingga memecahbelahkan umat Islam dan menghancurkan kesatuan agama Islam.

Perbezaan yang berlaku sesama mukmin biarlah akhirnya membawa kepada kesepakatan dan kekuatan ummah serta agama Islam.

No comments:

Post a Comment