Monday 4 December 2017

Macam mana cara makan buah rotan

Kuih buah rotan memang tidak asing lagi yang cukup terkenal menjadi hidangan pada musim perayaan. Tetapi tentu tidak ramai orang kenal buah rotan dan tentu sekali tidak pernah merasainya.

Buah rotan pastinya adalah buah dari pokok rotan. Ukuran buah rotan berbeza mengikut spesiesnya. Rasanya seperti masam-masam manis dan sedap untuk dimakan.

Cara hendak makan buah rotan ialah dengan mengopek kulit menggunakan tangan. Buahnya ada biji besar. Jadi untuk mendapatkan isi perlu digigit secara cermat agar isi tertanggal dari bijinya.  

Pokok rotan tergolong dalam famili Palmae dan dikelaskan dalam kumpulan yang terbesar iaitu subfamili Calamoideae.

Berbeza dengan kebanyakan pokok palma, daun-daun pokok rotan ini tidak tumbuh berumpun, sebaliknya berada jarak secara ruas yang agak jauh antara satu sama lain mengikut jenis rotan.

Terdapat 13 genera rotan di seluruh dunia yang menghasilkan lebih 300 spesies. Di Semenanjung Malaysia, terdapat kira-kira 107 spesies rotan yang terdiri daripada 8 genera di mana hanya 20 spesies sahaja yang dikenalpasti kegunaannya serta mempunyai nilai pasaran.

Antaranya ialah Calamus manan (Rotan Manau), C. ornatus (Rotan Dok), C. turnidus (Rotan Manau Tikus), C. scipionium (Rotan Semambu), dan C. caesius (Rotan Sega).

Umumnya rotan tumbuh di kawasan yang lembap dan bilangannya berkurangan apabila sesuatu kawasan itu selalu mengalami pertukaran kelembapan. Di Semenanjung Malaysia, rotan boleh dijumpai dari kawasan pinggiran pantai hingga ke kawasan pergunungan.

Walau bagaimanapun, habitatnya yang paling sesuai ialah di kawasan hutan dipterokarpa yang mempunyai ketinggian di bawah 1,000 aras paras laut (a.p.l).

Rotan memberi sumbangan ekonomi melalui pemprosesan perabot dan kraftangan. Antara perabot yang dihasilkan ialah kerusi, meja, katil, serta perkakas dapur.

Di samping itu juga rotan juga digunakan untuk menganyam tikar ataupun digunakan sebagai bahan lapik. Rotan manau dan rotan sega adalah merupakan dua spesies rotan yang terpenting sekali dalam industri berasaskan rotan di Semenanjung Malaysia.

No comments:

Post a Comment