Monday 4 December 2017

LEBIH UTAMAKAN PENDIDIKAN AGAMA

Ibu bapa perlu lebih memberi lebih penekanan dalam soal pendidikan agama dan akhlak anak-anak.  Proses pendidikan anak-anak tidak menjadi tanggungjawab guru semata-mata, tetapi lebih penting dimainkan oleh ibu bapa.

Ibu bapa tidak seharusnya menyerah urusan mendidik anak kepada pendidik semata-mata. Pendidikan asas anak bermula dari rumah, yang mana ibu bapa menjadi guru yang pertama kepada anak masing-masing.      

Justeru, pendidikan agama dan akhlak perlu diajar seawal usia kanak-kanak sebagai teras kesempurnaan hidup yang membawa kepada kejayaan di alam pendidikan di sekolah, pendidikan tinggi nanti dan seterusnya alam dewasa nanti.

Anak yang mempunyai didikan agama dan akhlak tidak akan menghadapi masalah dalam cabaran hidup mendatang. 

Anak-anak yang mempunyai didikan agama dan akhlak biasanya cemerlang dalam pendidikan dan mencapai kejayaan hidup.   

Selain didikan dan bimbingan yang diberikan ibu bapa, kanak-kanak sekarang turut mendapat didikan agama sejak tadika dan seterusnya di sekolah rendah serta menengah.

Biarpun di sekolah ada diajarkan matapelajaran pendidikan Islam, adalah lebih baik dimulakan di rumah lagi. Lagi awal lebih mudah untuk anak-anak memahami Islam secara asas sebelum dilanjutkan di peringkat kefahaman lebih tinggi apabila memasuki alam persekolahan.

Biarpun ada kelas agama di sekolah, perhatian dan bimbingan tetap perlu diberi perhatian di rumah kerana amalan agama banyak diamalkan di rumah.

Apa yang diajar oleh guru mesti dipraktikkan di rumah. Contohya sembahyang yang dikerjakan lima kali sehari. Ibu bapa perlu memantau atau memastikan anak-anak bersembanyang.

Masa guru bersama pelajar agak terhad, sedangkan masa anak bersama ibu bapa atau keluarga lebih lama. Jadi, peranan mendidik anak berkaitan akhlak dan amalan agama perlu lebih banyak dilakukan oleh ibu bapa. 

No comments:

Post a Comment