Polis Kelantan mendedahkan terdapat usahawan
kosmetik dan pempengaruh dari negeri tersebut yang disyaki terbabit dengan
kegiatan pengedaran dadah dan penggubahan wang haram.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata kumpulan terbabit bukan pengedar kecil sebaliknya menjadi tauke besar di sebalik kegiatan dadah dan penggubahan wang haram, yang mempunyai pasukan dan rangkaian yang lengkap dalam menjalankan kegiatan terlarang itu.
"Mereka ini adalah ketua untuk setiap sindiket dan mempunyai rangkaian atau pasukan yang lengkap bagi menjalankan kegiatan terbabit iaitu dari segi tempah, ambil, hantar dadah, siapa pembeli dan sebagainya.
"Peranan usahawan kosmetik dan pempengaruh ini adalah penyuntik modal dan menerusi proses sebarang jual beli dadah, mereka akan menggunakan individu lain supaya kegiatan itu tidak boleh dikaitkan dengan mereka.
"Memang mereka ini licik dan menggunakan strategi tertentu sehingga menyukarkan pihak pasukan polis bagi mengaitkan mereka adalah dalang di sebalik kegiatan itu.
"Mereka ini berselindung di sebalik perniagaan kosmetik dan beberapa perniagaan lain supaya kegiatan terlarang mereka sukar dikesan," katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, polis menggunakan strategi tertentu bagi mencari bukti dan mengaitkan mereka yang mendalangi kegiatan dadah dan penggubahan wang haram itu.
Malah katanya, beberapa pengasas produk dan pempengaruh kini dalam pemantauan polis kerana dikesan mempunyai kemewahan luar biasa sedangkan produk yang dikeluarkan adalah biasa.
"Fikir logik, produk kosmetik mereka orang tidak kenal pun dan mungkin tiada siapa yang beli, namun di rumah mempunyai deretan kereta mewah, boleh pakai Lamborghini dan sebagainya.
"Tunjuk duit berkepuk-kepuk di media sosial padahal baru beberapa bulan keluarkan produk. Jadi kekayaan mereka adalah luar biasa.
"Saya mendedahkan perkara ini berdasarkan maklumat yang ada dan bukan bercakap kosong. Ini adalah amaran keras saya kepada kumpulan berkenaan," katanya.
Terdahulu, Polis Kelantan mendedahkan ramai pengasas produk dan pempengaruh di Kelantan terbabit dengan kegiatan pengedaran dadah dan penggubahan wang haram.
Ia berdasarkan beberapa tangkapan sebelum ini dan kebanyakan mereka menggunakan modus operandi sama iaitu menggunakan perniagaan untuk menyembunyikan kegiatan jenayah.
"Kes pertama membabitkan tangkapan pengasas produk bersama dadah bernilai RM5 juta pada 2020. Bisnes nampak berjaya, namun sebenarnya menjadi topeng kepada kegiatan haram.
"Kes kedua pula pada 2021 membabitkan tangkapan usahawan kosmetik bergelar Datin atas kesalahan mengedar dadah. Mereka menggunakan modus operandi sama iaitu menggunakan perniagaan untuk menyembunyikan jenayah.
"Kes ketiga pula berkaitan sindiket dadah dikuasai ahli perniagaan di Kelantan sebagaimana dilaporkan pihak media pada tahun lalu.
"Polis mengesan ahli perniagaan yang menjadi dalang sindiket dadah di negeri ini, mereka cuci duit haram melalui perniagaan dan guna individu lain untuk mengaburi pihak berkuasa," katanya.
Sumber - https://www.bharian.com.my/berita/kes/2025/03/1375513/pempengaruh-usahawan-kosmetik-di-kelantan-jadi-ketua-sindiket-dadah
No comments:
Post a Comment