Monday, 23 June 2025

MONUMEN BESI RUNTUHAN JAMBATAN GUILLEMARD

 
Jambatan Kereta Api Guillemard yang merentasi Sungai Kelantan telah menjadi sasaran tentera British pada kempen Perang Dunia Kedua. Tindakan meletupkan atau memusnahkan jambatan itu dilakukan bagi melengahkan kemaraan tentera Jepun ke selatan setelah mendarat di Pantai Sabak dan kawasan sekitarnya pada pagi 8 Disember 1941.
 
Letupan jambatan kereta api itu telah dilakukan setelah kereta api yang membawa pegawai British dan ahli keluarga melepasinya.
 
Pemusnahan Jambatan Kereta Api Guillemard dilihat penting kerana jambatan itu dan landasan kereta api berkemungkinan akan digunakan oleh tentera Jepun sebagai paksi serangan pasukan yang mendarat di Kota Bharu menuju ke selatan.
 
Akibat letupan bahan peledak dipasang tentera British, sebahagian jambatan tersebut telah runtuh dan terbenam di dasar Sungai Kelantan. Ketika proses membina kembali jambatan tersebut selepas Perang Dunia Kedua tamat, runtuhan besi itu terus dibiarkan terbenam tanpa dinaikkan kembali.
 
Namun, sejarahnya berubah pada tahun 2024, ketika Kelantan menempuh separuh pertama tahun 2024 dengan kemarau yang panjang dan luar biasa. Air Sungai Kelantan telah turun pada paras terendah sehingga timbul banyak beting pasir.
 
Di Kursia Baru, air sungai yang cetek telah menampakkan sebahagian besar sisa serpihan besi Jambatan Kereta Api Guillemard yang diletupkan pda 9 dan 12 Disember 1941.
 
Prihatin dengan keadaan serta peluang yang amat jarang ini, dan kebetulan pada 2024 adalah tahun ke-100 semejak perasmian jambatan tersebut  (10 Julai 1924), Majlis Daerah Tanah Merah (MDTM) dengan mandat Mesyuarat Penuh MDTM Bilangan 4 Tahun 2024, telah memutuskan satu langkah proaktif demi pemuliharaan warisan yang tidak ternilai itu.
 
Berbekal keizinan, sokongan dan kerjasama daripada Perbadanan Aset Keretapi (RAC) dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), pelawan kerjasama telah dipanjangkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Daerah Tanah Merah, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Tanah Merah, dan Skuadron Ketujuh Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) dari Briged Kelapan Infantri (8 Briged).
 
Setiap pihak menyambut baik usaha ini dan gerak kerja rasmi telah dimulakan pada 20 Jun 2024 dengan mesyuarat Penyelaras diikuti siri pemeriksaan dan perbincangan  di tapak pada 3 Julai 2024 dan 8 Julai 2024.
 
Operasi telah digerakkan pada 11 Julai 2024 dalam cuaca yang baik, namun agak mencabar. Hujan di hulu pada malam sebelumnya telah menyebabkan aliran air deras dan aras air sedikit meninggi.
 
Serpihan pertama yang cuba dianggat setelah berjaya dipotong telah jatuh dan tersangkut pula di dasar sungai seperti sauh dilabuh dan gagal ditarik dengan kren.
 
Setelah seharian berhempas pulas, serpihan pertama sebarat 800 kilogram sepanjang lebih 4 meter akhirnya berjaya dinaikkan dengan bantuan kabel dari atas jambatan. Apabila serpihan seterusnya cuba dinaikkan, kren gagal menarik dari jauh kerana tiada medium apungan.
 
Operasi terpaksa ditangguh dan potun khas terpaksa dibina. Operasi disambung semula pada 17 Julai 2024. dua hari sebelum hari ulang tahun ke-100 jambatan.
 
Akhirnya, berkat usaha gigih dan kerjasama rapat sekalian warga kerja KTMB, Bomba, APM dan ATM, serpihan utama seberat 5000 kilogram sepanjang 6.7 meter akhirnya berjaya juga didaratkan ke tebing setelah 85 tahun terbenam di dasar sungai.
 
Serpihan lain yang hampir serupa telah dikekalkan di lokasi itu sebagai ketandaan peringatan kejadian. Kedua-dua serpihan ini kini diberi nafas baharu telah ditempatkan kembali sebagai sebuah monumen dan memorial yang dibina di tebing sungai, berdekatan jambatan tersebut.
 
Kawasan tersebut kini dimajukan sebagai satu taman yang dikenali Guillemard View menjadi "muzium" terbuka yang menceritakan tentang sejarah panjang Jambatan Kereta Api Guillemard. Ia menjadi tumpuan penduduk untuk menikmati pemandangan jambatan yang berdiri teguh dan masih gunakan, serta Sungai Kelantan yang menarik.
 


Bahagian yang masih di tempat asal

No comments:

Post a Comment