Saturday, 5 March 2022

BATALION KEEMPAT REJIMAN ASKAR MELAYU DIRAJA (4 RAMD)

 
Batalion Keempat Rejimen Askar Melayu DiRaja (4 RAMD) merupakan salah sebuah batalion infantri tertua di dalam Tentera Darat Malaysia (TDM). Sejak ia ditubuhkan, banyak peristiwa dan sejarah telah berlaku yang dapat dijadikan kenangan serta kemegahan pasukan.

Pasukan 4 RAMD telah ditubuhkan di Port Dickson pada 22 Nov 1949 (penubuhan pasukan adalah melalui kuasa yang diluluskan; FED/M/3000/1/72).

Anggota-anggota yang menjadi teras penubuhan adalah terdiri dari Pegawai Tanpa Tauliah (PTT) dan soldadu-soldadu yang terlatih dari Batalion Pertama, Kedua dan Ketiga Rejimen Askar Melayu Diraja serta rekrut-rekrut yang baharu tamat menjalani latihan asas di Depoh Askar Melayu.

Pegawai Memerintah yang pertama adalah Lt Kol C.N.B Rose yang memerintah mulai tahun 1949 hingga 1952. Anak Melayu pertama yang menjadi Pegawai Memerintah adalah Lt Kol Abbas bin Abdul Manan yang memerintah dari tahun 1957 hingga 1958.

Sarjan Mejar Rejimen yang pertama adalah PW 1 J.R Rose, yang berkhidmat di pasukan dari tahun 1949 hingga 1953, manakala anak Melayu yang pertama menjadi RSM adalah 545 PW 1 Ismail bin Chik MBE.

Lambang Pasukan
Kukri bersilang telah dipilih sebagai identiti utama pasukan. Ia adalah senjata yang biasanya digunakan oleh orang-orang Nepal yang berbangsa Gurkha dan merupakan senjata rasmi bagi bangsa Gurkha yang berkhidmat di Tanah Melayu sepanjang tempoh darurat.

Gelaran Gurka Malaya telah diberikan ketika pasukan ini berada di Mentakab, Pahang pada tahun 1950. Gelaran ini diberikan oleh Sir Gerald Templer, Pesuruhjaya Tinggi British Ke Tanah Melayu kerana kehebatan anggota-anggota pasukan yang setanding dengan Tentera-Tentera Gurkha yang berkhidmat di Tanah Melayu pada tahun 1948 hingga 1960.

Anggota-anggota pasukan ini telah mempamerkan mutu disiplin yang tinggi, bersifat garang, tahan lasak dan bersikap agresif.

Cogan kata pasukan
Cogan kata pasukan ialah Tetap Unggul atau Forever Excellenca. Perkataan tersebut dipilih untuk memberi suatu inspirasi kepada warga Gurkha Malaya supaya terus berusaha mencapai kecemerlangan.

Cogan kata ini telah diilhamkan oleh Lt Kol Badrulzaman bin A. Rani (Pegawai Pemerintah ke-24) pada tahun 1992.

Penganugerahan Panji-panji 4 RAMD yang pertama telah disempurnakan oleh Sir Gerald Templer selaku Pesuruhjaya Tinggi British Ke Tanah Melayu di Padang Kelab Selangor, Kuala Lumpur pada 8 Jul 1953.

Pegawai yang telah menerima Panji-panji berkenaan ialah Lt M Mohamad Nordin bin Mohaludin. Pasukan ini adalah merupakan antara pasukan yang pertama menerima Panji-panji daripada Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu. Ia dianggap yang pertama diterima sejak diperkenalkan oleh Ratu Elizabeth II selepas baginda menaiki takhta.

Penampatan pasukan semenjak penubuhan:
- Port Dickson, Negeri Sembilan
- Mentakab, Pahang
- Port Dickson, Negeri Sembilan
- Mentakab, Pahang
- Tapah, Perak
- Kroh, Perak
- Mentakab, Pahang
- Majidee, Johor
- Sarawak, (Penugasan Gerakan)
- Majidee, Johor
- Tawau, Sabah (Penugasan Gerakan)
- Majidee, Johor
- Bau, Sarawak (Penugasan Gerakan)
- Majidee, Johor
- Tawau, Sabah (Penugasan Gerakan)
- Majidee, Johor
- Sungai Besi, Kuala Lumpur
- Ipoh, Perak
- Sandakan, Sabah
- Sungai Ara, Pulau Pinang
- Sri Aman, Sarawak
- Tapah, Perak

Lagu pasukan 

SUMPAH SATRIA

Langkah maju kita terus mara
Pantang undur meneyerah tiada
Inilah tekad sumpah satria
Pasukan Empat Melayu Diraja
Berjuang dengan Gagah Setia
Mempertahankan nusa dan bangsa
Ugama juga tidak dilupa
Walau di dalam bahaya
Perwira Empat Melayu Diraja
Semua tampan gagah perkasa
Sedia berkorban untuk negara
Menghapuskan musuh yang durjana
Perginya perwira yang berjasa
Tak rela tangisan di pusara
Kepada Tuhan pohonkanlah doa
Inilah sumpah satria kita

No comments:

Post a Comment