
Nabi Muhammad SAW adalah pakar strategi dan perisikan. Contohnya dalam peristiwa hijrah dari Mekah ke Madinah pada 622 Masihi. Dalam peristiwa tersebut, baginda mengatur strategi dan perisikan sebelum hijrah dilaksanakan.
Dari segi strategi, ia boleh dikesan menerusi analisis SWOT
iaitu kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman.
Faktor kekuatan ialah kesediaan penduduk Madinah ( Yathrib)
menyambut kedatangan baginda. Rombongan dari Madinah telah menemui baginda di
Aqabah, Mina pada 621 Masihi terdiri 12 lelaki daripada suku Aus dan Khazraj.
Ia dikenali sebagai Baiah Al-'Aqabah Pertama.
Diikuti Baiah Al-'Aqabah Kedua pada Jun 622 Masihi di mana
melibatkan kira-kira 70 orang Madinah.
Mereka berjanji tidak mempersekutukan Allah, tidak mencuri,
tidak berzina, tidak membunuh anak dan tidak menentang baginda.
Kekuatan yang lain ialah kebijaksanaan Rasulullah memilih
Gua Thur sebagai tempat persembunyian semasa berhijrah. Kedudukan gua tersebut
terletak di selatan Mekah, bukan jalan menuju Madinah dan ia boleh mengelirukan
pihak musuh.
Baginda juga menuju Madinah menggunakan jalan yang jarang
dilalui oleh penduduk Mekah.
Dari aspek kelemahan hijrah ke Madinah ini ialah Rasulullah
dan Abu Bakar akan menempuh jalan banyak rintangan. Ia bukan sahaja sukar
dilalui, tetapi terdedah kepada risiko ancaman suku kaum yang tidak dikenali di
sepanjang perjalanan.
Dari aspek peluang pula, Rasulullah telah menjangkakan
Madinah adalah lokasi yang terbaik untuk memantapkan penyebaran agama Islam. Di
situ, baginda dan golongan Muhajirin tidak diganggu oleh kaum Quraisy
Mekah.
Aspek ancaman semasa berhijrah datangnya daripada bangsa
Yahudi di Madinah. Ini kerana mereka menganggap menjadi bangsa terpilih oleh
Allah SWT.
Bagaimanapun ancaman tersebut dapat ditangani apabila
Rasulullah mengadakan perjanjian dengan mereka. Baginda bertindak tegas apabila
berlaku perlanggaran syarat perjanjian.
Bagaimana pula dari aspek perisikan? Rasulullah sememangnya
telah merancang hijrah ke Madinah secara teratur, walaupun tidak dinafikan ia merupakan
perintah Allah.
Baginda mempunyai fakta bahawa Madinah mempunyai
keistimewaan dari segi geografi, politik, ekonomi, mahupun sosial.
Rasulullah juga mempunyai sumber perisikan dan pembantu yang
dapat melicinkan lagi pelaksanaan hijrah ke Madinah.
Antaranya ialah Abu Bakar yang menemani Baginda sepenuh masa
sewaktu berhijrah. Begitu juga Ali bin Abi Talib yang menggantikan Baginda di
tempat tidur pada malam hijrah. Pembantu lain ialah Asma anak perempuan Abu
Bakar yang menguruskan bekalan makanan.
Ini diikuti Abdullah anak lelaki Abu Bakar yang mencari
maklumat perisikan dan melaporkan kepada Baginda dan bapanya.
Seterusnya mendapat perkhidmatan seorang penunjuk jalan yang
mahir dengan situasi kawasan dan jalan untuk berhijrah. Walaupun Abdullah bin
Uraiqit seorang musyrik, tetapi amanah dan taat menyimpan rahsia.
Rasulullah juga sentiasa menganalisis maklumat perisikan
yang diterima. Baginda tidak mahu terbuai dengan kuantiti pengikut, padahal
yang lebih penting ialah kualiti mereka.
Bagi mempastikan pengikutnya berhijrah ke Madinah dengan
niat yang ikhlas, bukannya disebabkan agenda tertentu sama ada tujuan keduniaan
atau untuk menikahi seseorang perempuan.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Setiap amalan
bergantung kepada apa yang diniatkan" - (Hadis riwayat Bukhari dan
Muslim).
Wanita yang dimaksudkan dalam hadis ini ialah Ummi Qais yang
memberi syarat kepada seorang sahabat bahawa beliau bersedia menjadi isteri
sekiranya lelaki itu berhijrah ke Madinah.
Baginda juga sentiasa memantau pergerakan orang yang memeluk
Islam bukan kerana ikhlas tetapi kerana muslihat tertentu. Golongan munafik ini
diketuai oleh Abdullah bin Ubai.
Gambar sekadar hiasan.
No comments:
Post a Comment